Sunday, 15 March 2009

KENYATAAN MEDIA ISU PPSMI : KERAJAAN PERLU PERKASAKAN BAHASA MELAYU

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN  BAHAGIAN KUALA SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

ISU PPSMI : KERAJAAN PERLU PERKASAKAN BAHASA MELAYU


        Dasar pembelajaran dalam Bahasa Inggeris terhadap subjek Sains dan Matematik dibimbangi akan melenyapkan dan menyebabkan Bahasa Melayu pupus ditelan zaman. Kebimbangan ini diasaskan kepada generasi pelajar PPSMI ini kelak sudah tidak dapat mengenal dan memahami perkataan dalam Bahasa Melayu yang wujud dalam istilah Matematik dan Sains kelak.

  Di atas dasar mempertahankan Bahasa Melayu ini, maka Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kuala Selangor mendesak agar kerajaan menukar polisinya segera sebelum Bahasa Melayu hilang keupayaannya dalam mengungkap istilah, terminologi dan penggunaannya di masa hadapan.

  Adalah tidak munasabah atas apa jua alasan untuk membawa negara maju ke hadapan dan bersaing di era globalisasi. Bahasa Melayu terpaksa ‘dikorbankan’ untuk mencapai matlamat menjadi negara maju dan dapat bersaing dengan dunia lain. Apakah Bahasa Melayu tidak mampu untuk mengungkap dan menjadikan bangsa penuturnya bersaing di dunia globalisasi dan persaingan sejagat ?

 Sejarah kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka di abad ke-15 menjadi bukti bahawa Bahasa Melayu menjadi Lingua Franca yang menjadi bahasa perdagangan dan antarabangsa yang terkenal seluruh gugusan kepulauan Melayu, Semenanjung Arab, Eropah , China dan India. Penutur Bahasa Melayu ini menjangkau sempadan bangsa, kebudayaan dan negara. Hari ini dianggarkan penuturnya berjumlah lebih 350 juta di seluruh dunia.

 

Kemajuan negara Iran , Jepun dan China dalam perkembangan sains dan teknologi dunia amat pantas. Kepantasan mereka berkembang maju dengan kadar yang pantas kerana kegigihan dan usaha mereka berterusan, malahan aspek bahasa yang menjadi identiti bangsa mereka kuat diperkasakan dan dipertahankan. Dengan keupayaan mereka juga yang tidak bergantung kepada bahasa asing kini negara tersebut sudah berjaya melancarkan satelit ke angkasa lepas dan menghantar manusia ke angkasa dengan teknologi mereka sendiri.

 Justeru, kerajaan perlu menukar polisinya segera. Jangan jadikan pelajar-pelajar di negara ini dan Bahasa Melayu sebagai bahan uji kaji untuk kepentingan dan matlamat yang tidak jelas. AMK cukup yakin bahawa Bahasa Melayu perlu diperkasakan dan penggunaan Bahasa Inggeris dimantapkan dan Bahasa Arab diperkukuhkan maka generasi pelajar negara ini juga mampu bersaing di dunia globalisasi dan antarabangsa.

 Maka demi memelihara dan mempertahankan Bahasa Melayu daripada pupus di masa hadapan. Subjek Sains dan Matematik perlu diajar kembali di dalam Bahasa Melayu. Untuk memantapkan Bahasa Inggeris, pengajaran dan pendekatan baru dan terbaik perlu dilaksanakan dalam mengajar Bahasa Inggeris itu sendiri di negara ini.

Oleh : MOHD EZLI MASHUT

KETUA PENERANGAN,

AMK BAHAGIAN KUALA SELANGOR

No Tel : 017-6543974 / email :ezli007@hotmail.com


15hb Mac 2009