Monday, 23 February 2009

TINDAKAN SIASATAN TERPILIH OLEH SPRM DI BIDAS

KENYATAAN MEDIA

UNTUK SIARAN SEGERA 

ANGKATAN MUDA KEADILAN BAHAGIAN KUALA SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

TINDAKAN  SIASATAN TERPILIH OLEH SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) DIBIDAS 

        Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kuala Selangor menyatakan pendirian tegas agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih professional dan telus dalam menjalankan siasatan kes-kes rasuah di negara ini. Sejak mutahir ini pihak AMK Bahagian Kuala Selangor merasakan bahawa pihak SPRM bertindak bias dan berpihak dalam melaksanakan tugas yang telah dipertuntukkan.

        Pihak AMK mendesak agar segala laporan yang dikemukan oleh semua pihak diambil perhatian yang serius khususnya laporan yang dikemukakan terhadap beberapa individu berprofil tinggi seperti dakwaan pelbagai rasuah terhadap Dato’ Seri Mohd Khir Toyo yang dilakukan semasa memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor yang lalu.

        Pihak AMK juga mendesak agar siasatan dakwaan rasuah Ketua Pembangkang Selangor selama memegang jawatan MB Selangor di dedahkan hasil siasatannya. AMK merasakan bahawa siasatan tersebut sudah terlalu lama sedangkan tiada sebarang tindakan atau pendakwaan yang dikemukakan.

        Kes ‘46 ekor lembu dan kereta Lexus’ yang dihadapkan kepada MB Selangor Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim yang memakan siasatan paling pantas seolah-olah satu serangan untuk memburuk-burukkan imej pemimpin Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan. Sedangkan kes-kes dakwaan rasuah yang memakan Ringgit Malaysia ratusan juta yang dilaporkan kepada pihak SPRM sebelum ini seolah-olah dibakul sampahkan.

        Pihak AMK Bahagian Kuala Selangor meletakkan harapan yang tinggi dengan terhadap usaha memperkasakan SPRM yang sebelum ini dikenali sebagai BPR. Justeru pihak AMK merasakan kini agar satu reformasi besar-besar terhadap SPRM perlu dilakukan dalam usaha membanteras gejala rasuah yang semakin membimbangkan di negara ini.

        SPRM sewajarnya menunjukkan komiten yang tinggi dengan tidak membuat siasatan terpilih yang jelas akan menjejaskan kredibiliti SPRM sebagai agensi tunggal negara yang memerangi rasuah di negara ini. Rakyat kini hilang kenyakinan terhadap SPRM khususnya terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mengeluarkan kenyataan yang mendahului daripada Jabatan Peguam Negara.

        Pihak AMK juga mendesak satu penjelasan terhadap desas-desus yang bertiup kencang kini mengenai dakwaan anak Ketua Pesuruhjaya SPRM di tangkap di Adelaide, Australia kerana terlibat dalam satu kes di sana yang dilaporkan dalam media massa di sana dan juga media di negara ini .

        Pihak AMK mendesak agar Ketua Pesuruhjaya SPRM kini meletak jawatan segera atau mengeluarkan satu kenyataan penjelasan terhadap dakwaan ini. Kami merasakan Ketua Pesuruhjaya SPRM seolah-olah ditekan oleh pihak-pihak tertentu yang menekan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk mengenakan dakwaan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat khususnya terhadap MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

        Jika Ketua Pesuruhjaya SPRM ditekan oleh pihak-pihak tertentu dalam menjalankan tugasnya. Pihak AMK merasakan beliau perlu melepaskan jawatannya agar maruah,kredibiliti dan professionalisma SPRM tidak lagi dipertikaikan oleh banyak pihak di negara ini.

        Dalam siaran media ini juga seluruh warga AMK Bahagian Kuala Selangor menyatakan sokongan mantap terhadap kepimpinan MB Selangor Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim. Kami bertegas untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor Darul Ehsan yang jelas terbukti telah melaksanakan agenda kebajikan rakyatnya di samping mempertingkatkan pelaburan luar ke Negeri Selangor ini.

Kenyataan Media :

Mohd Faizal Baharuddin

Ketua AMK Bahagian Kuala Selangor

 

Mohd Ezli Mashut

Ketua  Penerangan Merangkap Setiausaha

AMK Bahagian Kuala Selangor