Saturday, 28 February 2009

SIDANG TERGEMPAR DUN PERAK 3 MAC : KERAJAAN BN/DR ZAMBRY BAKAL TUMBANG..

     Tarikh penting 03 Mac 2009 bakal menentukan nasib kemelut politik Perak untuk episod seterusnya. Ianya amat penting kerana Speaker DUN Perak, V Sivakumar pada 27hb Februari telah mengumumkan akan mengadakan sidang tergempar pada hari Selasa (3 Mac) ini. Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar tanpa memerlukan notis 14. Justeru ianya tidak memerlukan perkenan Sultan Perak dalam usul tergempar ini.

        Ianya amat menarik kerana sebelum ini Speaker DUN Perak, V Sivakumar telah menggantung Dr Zambry selama 18 bulan dan barisan 6 exconya selama 12 bulan. Kini jika fakta ini di ambil kira maka Pakatan Rakyat mempunyai 28 Adun, BN pula diwakili 21 Adun. Manakala 3 ADUN Bebas yang sebelum ini melompat parti telah diberi notis kekosongan kerusi.

        Namun jika kesemua yang digantung dapat memasuki sidang DUN tersebut atas apa jua alasan. Speaker DUN mempunyai kuasa yang sudah termaktub untuk mengarahkan mereka keluar segera daripada sidang tergempar DUN. Perkara ini tidak menjadi kesalahan kerana selama ini berapa ramai Ahli Parlimen yang pernah menerima nasib diarahkan keluar di Dewan Rakyat oleh kuasa Speaker.

 

        Mengikut laporan, sidang tersebut bakal membawa 2 usul penting. Pertama adalah usul untuk undi percaya kepada YB Dato Mohammad Nizar Jamaluddin untuk memegang kerusi Menteri Besar Perak yang sah. Kedua adalah usul untuk membubarkan DUN Perak dan mengadakan pilihanraya di semua DUN Perak dalam masa 60 hari selepas notis dihantar kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. SPR tidak mempunyai alasan lain selain mengadakan pilihanraya semula di DUN Perak.

        Berita utama yang akan menjadi tajuk utama pada ketika itu ialah mengenai tumbangnya kerajaan BN/ Dr Zambry yang hanya tidak sampai sebulan berkuasa selepas melakukan satu rampasan kuasa pada 04 Februari 2009. Tumbangnya kerajaan BN/Dr Zambry ini pastinya akan mengembalikan semula kuasa rakyat sebagai kuasa sah dalam memilih sebuah kerajaan.

        Jika DUN Perak dibubarkan pada ketika itu, pilihanraya di semua DUN Perak akan diadakan dalam tempoh 60 hari yang dijangkakan mungkin diadakan dalam bulan April atau selewat-lewatnya awal bulan Mei. Pastinya bulan April ini akan menyaksikan bulan politik yang sibuk kerana jika berlaku peralihan kuasa Perdana Menteri maka ia adalah satu referendum rakyat untuk menerima atau menolak secara total Perdana Menteri Malaysia ke 6 yang baru.

        Fokus kamera politik negara pada 3 Mac ini akan kembali semula ke Perak. Kuasa Speaker DUN yang selama ini langsung tidak mendapat perhatian daripada semua pihak adalah satu-satunya hero terakhir pihak Pakatan Rakyat yang mampu menggagalkan konspirasi pakatan rampasan kuasa di Perak.

        Gambaran ini seolah-olah ‘last action hero’ Pakatan Rakyat dalam usaha untuk mengembalikan kuasa rakyat yang merupakan kuasa keramat sesebuah pemerintahan. Semoga hari 03 Mac adalah tarikh bersejarah untuk siasah perjuangan rakyat yang mendapat semula kembali kuasa sebagai pemilih.

Oleh: Mohd Ezli Mashut

BEST OF THE BEST

LL.B (hons) UIAM

Blog : www.ezli007.blogspot.com

email : ezli007.hotmail.com