Wednesday, 11 February 2009

REFERENDUM RAKYAT UNTUK MALAYSIA…

Oleh : Mohd Ezli Bin Mashut (LL.B (hons) UIAM)
Laman Blog : www.ezli007.blogspot.com / Email : ezli007@hotmail.com
No Tel : 017-6543974

‘ Dua Pilihanraya kecil ini adalah ’ Referendum Rakyat’ dalam menilai sokongan rakyat terhadap perkembangan siasah terkini di Perak dan Kedah serta Malaysia amnya…’

Parlimen Bukit Gantang,Perak dan DUN Bukit Selambau,Kedah bakal menjadi medan terbaru dalam menilai sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Perkembangan ini pastinya akan menyaksikan iklim politik di Malaysia akan semakin rancak dan panas.

Di Parlimen Bukit Gantang, calon yang menjadi bualan ramai kini yang bakal diketengahkan ialah Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Pencalonan ini dilihat sebagai menarik kerana kemenangan untuk kerusi Parlimen ini akan menjadi bukti sokongan tidak berbelah bagi rakyat Perak Darul Ridzuan terhadap kepimpinannya sebagai Menteri Besar Perak yang dipilih daripada sokongan rakyat.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Bukit Gantang sebelum ini yang meninggal dunia pada 9hb Februari lepas iaitu Allahyarham Roslan Saharum ( Al-Fatihah…) dipercayai akibat serangan jantung memperolehi sebanyak 20,015 undi berbanding lawannya iaitu Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi (BN) yang memperolehi 18,449 undi serta calon Bebas iaitu M.Morgan yang memperolehi 872 undi. Majoriti kemenangan PAS pada PRU-12 lepas ialah 1566 undi.

Manakala pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau,Kedah diadakan setelah ADUN PKR iaitu V. Arumugam meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah dan ADUN akibat tekanan hebat yang diperolehinya serta keluarga untuk keluar daripada PKR. Walaupun laporan polis sudah dibuat namun sehingga kini tiada susulan yang di buat. Di media massa diberitakan misteri kehilangannya yang tanpa dapat dikesan. Apakah beliau tiba-tiba bakal muncul di Putrajaya bersama-sama TPM seperti kes di Perak minggu lepas ?...Tetapi berita terkini beliau diberitakan selamat di bawah keselamatan Pakatan Rakyat.

Untuk rekod bagi kawasan ini ialah V. Arumugam mendapat majoriti kemenangan mengatasi calon BN iaitu S.Krishnan dengan majoriti sebanyak 2362 undi. Kawasan ini mewakili sebanyak 50.2 % pengundi Melayu, 29.5 % pengundi India dan 19.3 % pengundi Cina.

Kini terpulang kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk menentukan tarikh pilihanraya kecil tersebut. Tarikh yang mungkin sesuai dijangka diadakan untuk Parlimen Bukit Gantang adalah pada 15hb Mac 2009 (Ahad) kerana ia permulaan awal cuti persekolahan.

Manakala pada 21Hb Mac 2009 (Sabtu) untuk DUN Bukit Selambau,Kedah kerana tarikh akhir cuti penggal persekolahan. Berkemungkinan juga diadakan pilihanraya kecil berlaku serentak pada satu tarikh. Namun semuanya bergantung kepada pengumuman oleh SPR bagi mengadakan bilakah pilihanraya kecil tersebut bakal berlangsung.

Kemenangan dengan majoriti yang besar diperlukan oleh calon-calon Pakatan Rakyat di dua tempat tersebut. Pakatan Rakyat perlu mensasarkan kemenangan majoriti melebihi 10 ribu untuk Parlimen Bukit Gantang,Perak kerana krisis di Perak inilah yang menjadi fokus utama perhatian rakyat Malaysia sekarang yang mempunyai pelbagai isu akan diketengahkan.

Manakala di DUN Bukit Selambau,Perak dijangkakan PKR akan meletakkan calon yang berbangsa India di kawasan tersebut. Di sini Pakatan Rakyat perlu mensasarkan kemenangan majoriti melebihi 5000 undi. Ianya akan menjadi petanda isyarat rakyat mengenai perkembangan politik di Malaysia yang menolak sikap keganasan politik yang cuba di bawa oleh UMNO/BN dalam membuat ugutan,ancaman dan penculikan politik.

Menganalisis perkembangan mutakhir politik Malaysia yang bakal berada di bawah Perdana Menteri Ke-6 Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pasti menggusarkan kita semua. Belumpun mencapai tampuk tertinggi negara, beberapa tindakan politiknya seolah-olah satu gambaran masa hadapan siasah Malaysia bakal berdepan dengan pelbagai kejutan dan sensasi.

Justeru kita mencadangkan untuk memulihkan kembali siasah di Malaysia yang semakin meruncing ini ialah ke mana halatuju siasah Malaysia di masa hadapan. Dalam membina sebuah negara Madani dan tamadun ummah. Penggembelingan tenaga dan fikrah ke arah membina kemajuan dan generasi akan datang perlu menjadi keutamaan. Perlunya ada had dan batasan dalam kita bersiasah. Apa guna kita hebat di gelanggang siasah tetapi akhirnya memusnahkan pembinaan untuk menjadi negara yang kuat dan hebat di masa akan datang.

Kita perlu belajar daripada Tamadun Islam Andalusia yang hebat di Eropah. Kejayaan mereka membina tamadun gemilang wajar dijadikan iktibar dan inspirasi kepada usaha bersama kita membina sebuah tamadun yang menjadi pencetus kepada kebangkitan Eropah daripada zaman kegelapan yang panjang.

Kejayaan mereka membina tamadun dalam keadaan mereka mempunyai kepelbagaian bangsa dan penganut agama samawi juga sesuatu yang unik. Sudah pasti ia ada kaitannya dengan kefahaman mereka terhadap Islam yang diterapkan dan dipraktikkan dalam bentuk perlaksanaan Islam yang syumul.Oleh sebab itu kita dapat menyaksikan sejarah di mana Umat Islam, Kristian mahupun Yahudi dapat bersama-sama membantu mewujudkan suasana keilmuan yang baik terutamanya di Cordova.

Sudah pasti suasana ini wajar menjadi inspirasi negara dengan menggabungkan kewujudan fitrah hidup bangsa Melayu, Cina dan India untuk saling mempunyai interaksi kerjasama yang mantap untuk membawa kesejahteraan kepada negara. Politik sempit yang hanya berasaskan semangat bangsa yang sempit dan jumud hanya membawa negara ke era zaman yang mundur dan kaku.

Justeru marilah kita membina kembalikan siasah Malaysia di mana ahli politik perlu menilai kembali apa tujuan berpolitik. Marilah kita berpolitik kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah supaya tujuan kita bersiasah adalah untuk kesejahteraan ummat sejagat. Sistem demokrasi bukan sistem terbaik untuk mentadbir negara namun kita perlu bijak menyesuaikan sistem ini untuk kita mampu mentadbir dan memimpin rakyat ke jalan yang mendapat keredhaan Allah. Agar perjuangan kita sentiasa mendapat keberkatan dan semoga kita bersiasah mendapat kebahagian dunia dan akhirat.


Mohd Ezli Mashut
The Best of the Best