Friday, 6 February 2009

RAMPASAN KUASA DI PERAK : ZIONIST ISRAEL DALANG UTAMA…?

Oleh : Mohd Ezli Bin Mashut
LL.B (Hons) UIAM
Laman Blog : www.ezli007.blogspot.com / email : ezli007@hotmail.com
No Tel : 017-6543974

‘Rampasan kuasa di Perak Darul Ridzuan ini dengan taktik ala-Mossad Zionist Israel membuktikan budaya penculikan politik, ugut dan ancam merupakan satu bentuk keganasan terbaru terhadap sistem siasah di Malaysia pada masa akan datang…’

‘Rampasan kuasa ini adalah satu bentuk keganasan terhadap kuasa keramat rakyat yang cintakan keadilan, kerajaan yang adil dan good governance…’

Situasi siasah dan rampasan kuasa oleh UMNO/BN di Perak Darul Ridzuan semakin gawat dan meruncing. Kini pihak Istana sudah terlibat dan bakal berhadapan serta perlu menjawab kepada kuasa rakyat. Menafikan hak rakyat yang telah secara sah memilih Pakatan Rakyat mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang merupakan satu bentuk keganasan terhadap hak dan kemerdekaan rakyat.

Rampasan kuasa di Perak juga memperlihatkan sikap media-media utama kerajaan Malaysia dipergunakan sekali lagi untuk menjustifikasikan keadaan politik di Perak. Malahan jentera kerajaan Malaysia juga dipergunakan dalam rampasan kuasa ini. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak PDRM yang perlu menjadi pelindung kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang tidak menjalankan amanah sewajarnya. Tetapi dilihat akur kepada tekanan penguasa yang korup dan zalim.

Rampasan kuasa ini juga dilihat sebagai satu serangan terhadap negeri-negeri yang berdaulat di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Tragedi hitam rampasan kuasa ini tidak ubah seperti tindakan Zionist Israel yang menyerang Gaza serta melakukan perbuatan keganasan dan kezaliman terkutuk. Ianya berlaku ketika proses peralihan kuasa antara George Walker Bush kepada Barack Hussin Obama.Di Perak ketika dijangka akan berlakunya proses peralihan kuasa antara Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak pada bulan Mac 2009 ini. Satu siri rampasan kuasa dilaksanakan di sebuah negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Majlis angkat sumpah oleh Menteri Besar daripada UMNO/BN ini akan menjadi satu detik hitam secara rasminya kejatuhan kedaulatan sebuah kerajaan rakyat. Jelas ketika mana Menteri Besar yang rasmi Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memutuskan tidak meletak jawatan. Adalah satu tindakan bertentangan apabila ada yang mendakwa untuk menjadi Menteri Besar yang baru.

Walaupun dalam tindakan ini, Sultan Perak tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak namun kuasa Sultan Perak tidak menjangkau boleh mengarahkan dan memecat seorang Menteri Besar yang sah di sisi perlembagaan dan undang-undang. Ianya cukup jelas bahawa tindakan Sultan Perak sudah melebihi kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

Justeru itu dalam situasi kini, semua pihak perlu menunggu satu keputusan daripada mahkamah dalam memutuskan kes yang di bawa oleh pihak Pakatan Rakyat yang mendakwa ketiga-tiga ADUN tersebut sudah meletak jawatan. Oleh itu dalam tempoh ini Dewan Undangan Negeri Perak perlu digantung untuk sementara waktu menunggu keputusan daripada pihak mahkamah. Kita berharap mahkamah bertindak adil dan tanpa sebarang unsur tekanan dan desakan daripada mana-mana pihak.

Dalam sejarah pilihanraya di Malaysia belum pernah berlaku apabila ketua negara atau negeri memohon untuk membubarkan Parlimen atau DUN. Pihak istana menolak permohonan pembubaran tersebut. Jika ianya terjadi ia akan menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan yang hebat. Keputusan pihak Istana menolak pembubaran sesebuah kerajaan hanya akan menjadi precedent kepada permohonan pembubaran mana-mana kerajaan pada masa akan datang. Kesan penolakkan pembubaran ini bakal memberi kesan kepada perundangan pada masa hadapan.

Buat masa ini menggantung DUN adalah pilihan terbaik jika permohonan pembubaran ini di tolak. Jadi jika Menteri Besar mengangkat sumpah ini hanya akan menambah lagi krisis perlembagaan kerana Perak akan mempunyai dua Menteri Besar pada masa yang sama. Malahan perlantikan exco-exco juga daripada UMNO/BN juga dianggap tidak sah dan mengundang tindakan mahkamah di masa hadapan.

Rakyat perlu menolak pimpinan rasuah. Mendokong pimpinan rasuah hanya akan menjerumuskan negeri dan negara ke arah kehancuran.Kenyataan perenggan di bawah menjadi bukti supaya rakyat menolak sebuah kerajaan di bina atas dasar rasuah.

The 14th century Arab sociologist Abdul-Rahman ibn-Khaldun postulated that civilisations inevitably collapse from within as a result of corruption and moral decadence, and a disintegration of the institutions of accountability.i

Abdul Rahman ibn Khaldun, The Muqaddimah (Princeton: Bollingen Series, 1967).

And then four centuries later Thomas Jefferson also warned against the abuse of unlimited powers by elected despots and foretold that there would come a time “when corruption in this, as in the country from which we derive our origin, will have seized the heads of government, and be spread by them through the body of the people; when they will purchase the voices of the people, and make them pay the price.”

Thomas Jefferson, Notes on Virginia, 1781-82.

Sebab itu perjuangan menentang terbinanya penubuhan kerajaan berasaskan rasuah perlu ditentang habis-habisan oleh semua lapisan masyarakat. Kegagalan kita menghalang terbinanya sebuah kerajaan berasaskan rasuah hanya akan membawa kehancuran daripada dalam sesebuah negeri atau tamadun. Malahan keadilan dan keberkatan pemerintahan juga semakin akan menghilang daripada mendapat rahmat dan lindungan daripada Allah.

Kita mengutuk sekeras-kerasnya rampasan kuasa ini kerana ia menzalimi kuasa rakyat yang telah membuat pilihan. Ia juga satu keganasan yang tidak boleh diterima dalam konteks pemerintahan yang adil. Operasi culik dan ugut ini perlu dihentikan sedaya upaya kita. Ianya tidak ubah seperti tindakan zalim Zionist Israel yang tidak mengiktiraf Hamas sebagai pemerintah sah di Palestin. Di sini rakyat menerima kesan tindakan zalim ini.

Ketika kita bersungguh-sungguh menentang kezaliman dan tindakan ganas Zionist Israel terhadap Palestin. Kita juga jangan mengimport budaya kejam dan zalim ini dalam budaya siasah kita di Malaysia. Belumpun bakal Perdana Menteri ke-6 dinobatkan sebagai PM baru Malaysia,tindakan dan gayanya menggambarkan suasana siasah di Malaysia menuju jalan suram dan akan penuh dengan konflik.

Justeru situasi ini perlu dihentikan segera. PM sekarang Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu memikirkan semula pelan peralihan kuasa ini. Tindakan ini dilihat mampu memberi harapan baru untuk Malaysia bangkit daripada kemelut ekonomi yang semakin meruncing ini. Kita tidak mahu nasib rakyat diperjudikan hanya untuk memenuhi kehendak segelintir kelompok elit yang akan terus menggunakan wang rakyat bagi kepentingan mereka sahaja.
Jelas kini,rampasan kuasa ini hanya mengundang tertubuhnya sebuah kerajaan haram di sisi perlembagaan dan undang-undang. Suara rakyat akan terus menjadi HAKIM kepada kemelut siasah di Perak ini. Diam dan hanya mengiakan tindakan rampasan kuasa ini hanya akan membuka ruang kepada hak rakyat dirobek dan tidak dihormati.

Akhirnya, kepada hero-hero rakyat yang sedang membaca sehingga akhir artikel ini. Peranan dan tugas anda amat diperlukan pada saat ini. Kegagalan kita beritindak bijak pada saat ini hanya akan menjadi bahan cemuhan generasi akan datang kerana sikap mendiam kita sendiri tanpa pendirian. Kembalikan Hak Rakyat !!!.