Thursday, 19 February 2009

PERTAHANKAN HAK PRIVASI,PERKASAKAN AKHLAK PERIBADI

PERTAHANKAN HAK PRIVASI , PERKASAKAN AKHLAK PERIBADI

Oleh :Mohd Ezli Mashut

LL.B (Hons) UIAM

Laman Blog :www.ezli007.blogspot.com / Email :ezli007@hotmail.com

NoTel : 017-6543974 

‘Justice is not only to be done but must have seen to be done’.

Someone is innocent until proven guilty’. 

        Kes pencerobohan privasi terhadap YB Elizabeth Wong adalah ancaman kepada privasi kepada semua rakyat Malaysia . Hak individu untuk menjalani kehidupan seharian sebagai manusia biasa perlu dipertahankan.

 Fakta kes dalam isu pencerobohan privasi terhadap YB Elizabeth Wong yang diambil fotonya ketika beliau tidur di dalam rumahnya tanpa kebenaran dan menyebarkannya kepada umum di internet adalah tindakan yang keji dan hina.

        Jelas di sini fakta kesnya cukup terang bahawa YB Elizabeth Wong tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah atau kesalahan daripada segi moral. Tiada bukti  yang cukup dan konkrit untuk merumuskan bahawa YB Elizabeth Wong telah melakukan perkara-perkara yang melanggar tatasusila dan moral.

YB Elizabeth Wong adalah mangsa sebenar kepada pencerobohan privasi yang jelas bermotifkan untuk mematikan terus karier politiknya dan serta mengaibkan maruah sebagai seorang wanita yang belum berkahwin.

        Sehingga artikel ini ditulis, foto tersebut yang menjadi isu masih lagi diragui status kesahihannya, apakah benar foto tersebut benar-benar wujud ? apakah benar foto tersebut sudah tersebar di internet ? jika sudah tersebar siapa dan mana laman-laman web yang menyiarkannya ?. Sejauhmanakah foto tersebut yang dikatakan wujud melanggar prinsip moral dan nilai-nilai murni yang berpakaian di dalam rumahnya sendiri ?.

           Dakwaan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo katanya :

 ‘ Ini soal moral. Dulu ketika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terlibat dalam perkara yang sama, mereka (PR) mendesak beliau supaya letak jawatan. Jadi, PR perlu laksanakan perkara yang sama ke atas pemimpinnya yang terlibat dalam skandal ini’

(Akhbar Sinar Harian : Edisi Selangor Dan WP : 17.02.2009)

          Kenyataan ini jelas jauh terpesong daripada fakta kes yang sebenar. Kes yang melibatkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan YB Elizabeth Wong adalah dua kes yang jauh berbeza daripada fakta, kronologi dan undang-undangnya. Isu skandal Dr Chua  sudah diakui oleh pelakunya dan juga jelas bertentangan dengan nilai moral dan akhlak.

          Skandal ini juga telah banyak diulas oleh pelbagai pihak sebelum ini dan ia juga bukan soal pencerobohan privasi peribadi seseorang. Manakala isu YB Elizabeth, beliau adalah mangsa kepada pencerobohan hak privasi peribadi yang mana fotonya diambil ketika beliau sedang lena berseorangan  di dalam rumahnya sendiri.

          YB Elizabeth Tidak Perlu Meletak Jawatan.

          Berdasarkan keterangan terhadap fakta kes yang dikemukan setakat ini. YB Elizabeth tidak disabitkan lagi dengan apa-apa dakwaan terhadap salah laku moral yang telah dilakukannya. Jika ada salah laku moral dan akhlak yang dilakukannya pastinya ia bersandarkan peruntukan dalam undang-undang sivil.

          Sehingga kini juga tiada bukti dan dakwaan yang mensabitkan YB Elizabeth telah melanggar undang-undang. Isu utama yang perlu diberi perhatian sekarang adalah soal pencerobohan hak privasi individu seseorang yang berada di kediaman sendiri.

          Kita juga mempertikaikan kenyataan terbuka Ketua Pembangkang Selangor yang mendesak untuk YB Elizabeth meletakkan semua jawatan. Sedangkan sebelum ini di bawah kepimpinan MB yang lepas, ramai ADUN-ADUN yang ada laporan salah laku moral, rasuah dan penyelewangan kuasa tidak meletak jawatan serta-merta. Malahan mereka seolah-olah mempunyai ‘imuniti’ daripada dikenakan sebarang tindakan disiplin dan undang-undang.

          Keputusan mengejut yang dibuat oleh YB Elizabeth Wong untuk meletak jawatan hanya memberikan ‘kemenangan moral’ kepada ‘penjenayah yang menceroboh’ hak privasi seseorang. Meletak jawatan hanya akan menyebabkan selepas ini lebih ramai lagi ahli politik, selebriti dan tokoh terkemuka akan ‘terperangkap’ dan ‘diperangkap’ dengan modus operandi yang sama untuk menjatuhkan imej, maruah dan karier seseorang.

          Justeru untuk menghentikan gejala ini  dengan  menggunakan modus operandi yang sama.  Tindakan tegas pihak berkuasa amat perlu. Malahan saman malu pilihan lain yang boleh dikemukan untuk menuntut ganti rugi akibat imej dan maruah yang telah diaibkan.

          Dalam hal ini, tindakan keterlaluan Ketua Pembangkang DUN Selangor juga dipertikaikan. Tindakan beliau menangguk di air keruh untuk menjatuhkan dan mematikan karier politik YB Elizabeth Wong amat keji dan hina sekali. Perlu diingat YB Elizabeth adalah mangsa pencerobohan hak privasi dan tidak lagi disabitkan dengan apa-apa dakwaan salah laku moral dan undang-undang.

          Kes YB Elizabeth Wong juga menyamai fakta kes yang berlaku kepada pelakon Nasha Aziz yang diambil gambarnya ketika di bilik dengan menggunakan CCTV  yang diletakkan tanpa pengetahuan. Kita yakin kes seperti ini juga banyak berlaku di negara ini yang jelas membuktikan rendah dan jijiknya akhlak yang cuba mengaibkan maruah peribadi seseorang.

          Sebenarnya soal berpakaian sopan di khalayak ramai perlu ditekankan. Bagi yang beragama Islam jelas soal menutup aurat merupakan isu utama yang perlu diberi perhatian. Kita persoalkan cara berpakaian artis dan selebriti yang berpakaian ketika berada dalam majlis-majlis festival dan penyampaian anugerah.

          Kita menegur  cara berpakaian mereka jelas bertentangan dengan kehendak cara berpakaian yang digariskan oleh Islam dengan pendedahan aurat yang keterlaluan. Malahan gaya penampilan mereka kadang-kadang lebih teruk daripada artis-artis barat. Isu ini wajar diberi perhatian dalam mempertahankan maruah dan peribadi wanita di khalayak ramai. Yang menjadi persoalan ialah sikap sesetengah artis yang beragama Islam yang berpakaian seperti ‘tidak berpakaian’ semasa di khalayak ramai.

          Kita  menganjurkan agar para wanita menjaga penampilan aurat mereka dikhalayak ramai. Malahan maruah mereka akan dilindungi oleh Allah yang Maha Berkuasa jika benar-benar ikhlas menjaga penampilan aurat mereka dikhalayak ramai. Golongan selebriti, artis dan model perlu juga menitikberatkan soal aurat semasa sessi fotografi dan lakonan untuk filem-filem, majalah-majalah dan media massa.

          Mungkin akan ada pihak mempertikaikan bahawa ini adalah hak peribadi. Namun dalam soal ini wajar diingat pendedahan aurat di khalayak hanya mengundang bencana yang lebih besar kepada masyarakat dan diri mereka sendiri. Tuntutan menutup aurat yang digariskan oleh Islam adalah bermatlamatkan untuk melindungi golongan wanita di dunia dan juga menjadi penyelamat ketika di akhirat kelak.

          Kita tidak mahu melihat bencana kebejatan moral dan akhlak merosakkan generasi masa kini dan akan datang. Kecanggihan teknologi ICT masa kini mewajarkan kita maju dan hebat juga dalam soal moral dan akhlak. Mengaibkan dan memalukan peribadi seseorang sebegitu rupa menggambarkan rendah dan teruknya moral dan akhlak seseorang.

          Kita mempertahankan maruah dan peribadi YB Elizabeth Wong daripada diaibkan dan dimalukan dengan sebegitu rupa. Kita tidak akan berkompromi dan mempertahankannya jika terbukti benar di mahkamah yang diadili dengan prinsip keadilan bahawa YB Elizabeth Wong terlibat dalam salah laku moral yang bertentangan dengan nilai-nilai murni.

       Prinsip moral dan akhlak kepimpinan adalah tunjang utama dalam perjuangan membina Negara Madani. Justeru dalam soal moral dan akhlak kepimpinan dan ahli perjuangan tiada kompromi. Kita pertahankan pemimpin yang mempunyai akhlak dan moral yang tinggi. Rakyat dan pemimpin perlu dididik dan bersama-sama untuk menghayati peribadi dan moral yang tinggi.

           Kisah peribadi hebat Khalifah Agung Saidina Umar Abdul Aziz memimpin dalam tempoh singkat 2 setengah tahun membawa reformasi dan perubahan wajar menjadi model kepimpinan masa kini. Masa yang singkat bukan alasan untuk usaha yang gigih membawa dan memimpin ummah ke arah kecemerlangan dan kegemilangan. Di waktu ini pembasmian kemiskinan jiwa dan material menjadi agenda utama. Akhirnya tiada siapa yang layak menerima wang Baitul Mal kerana rakyat pada ketika itu sudah mencapai status kekayaan jiwa dan fizikal.

          Kepimpinan ini yang rakyat dambakan. Pembasmian kemiskinan jiwa dan material menjadi keutamaan agenda kepimpinan negara dan negeri. Justeru ini memperlihatkan betapa tingginya kualiti politik mereka pada masa ketika itu. Tidak mustahil juga agar model ini diterjemahkan pada waktu dan situasi zaman masa kini. Agenda memberi keadilan iaitu ‘meletakkan hak kepada yang berhak’ kepada semua menjadi asas kepada membawa kemakmuran kepada pembinaan sesebuah tamadun.

          Justeru kita harus pertahankan hak privasi. Disamping itu juga kita perlu konsisten memperkasakan akhlak peribadi dan akal budi. Rakyat perlu ‘mendidik’ mana-mana pemimpin yang rendah moral dan akhlaknya. Pemimpin juga perlu menjadi ‘role model’ kualiti akhlak yang tinggi dalam memimpin negara.

          Akhirnya, media massa tidak perlu menjadi pendakwa,saksi dan hakim untuk menjatuhkan sesuatu hukuman. Seseorang tidak boleh dianggap bersalah jika belum terbukti benar seseorang itu benar-benar bersalah. Someone is innocent until proven guilty’.  

          Keadilan bukan sahaja perlu dilakukan tetapi juga mesti dilihat telah dilaksanakan. ‘Justice is not only to be done but must have seen to be done’.


MOHD EZLI MASHUT
THE BEST OF THE BEST

----------------------------------------------------------------------------------------------   

            ‘Bersiasah dan berpolitiklah semata-mata hanya untuk mendapat Syurga Allah dan mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Jangan kita berpolitik yang akhirnya mendapat dosa dan kemurkaan Allah. Ingatan ini agar kita sama-sama bersiasah dan berpolitik kerana ALLAH ’.

               YA Allah…Ampunkanlah dosa-dosa kami semua. Selamatkanlah kami semua Ya Allah daripada siksa kubur dan azab api neraka. Berilah taufik dan hidayah kepada kami semua Ya Allah dalam memimpin Ummah ini ke jalan yang mendapat keredhaan Mu. Dan pimpinlah kami untuk membawa negara ini menjadi negara ‘Baldatun Tayyibah Wa Rabbun Qhaffur’…AMIN.