Saturday, 28 February 2009

MACC : TERKENAL KERANA 'MALAYSIA ANTI CARS AND COWS'..?

  Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) atau singkatan dalam bahasa Inggeris MACC yang dilancarkan baru-baru ini perlu professional dan tegas dalam usaha memerangi rasuah. Gah pada penukaran nama bukan sandaran kepada kehebatan dalam perjuangan membebaskan negara daripada gejala rasuah.

        SPRM atau MACC tidak perlu menjadi omongan rakyat selepas ini yang hanya popular dan terkenal sebagai Malaysia Anti Cars And Cows’. Hanya bertindak pantas dan tegas kepada segelintir pihak tetapi melupakan dan melambatkan hasil siasatan kepada sejumlah besar individu berprofil tinggi yang kes rasuah didakwa berjumlah RM Berbillion-billion.

        Keyakinan rakyat perlu dikembalikan terhadap BPR sebelum ini yang dilihat masih longgar daripada segi kuasa penyiasatan dan pendakwaan. Memperkasakan Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merupakan langkah awal agar usaha memerangi rasuah di Malaysia diperhebatkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat,kedudukan dan status.

        Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2008 berkuatkuasa pada 1hb Januari 2009. Matlamat utama Akta ini adalah untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan suatu badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab; dan mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran sektor awam dan swasta dan komuniti.

        Ini bermakna sepertimana yang tertera dalam AKTA yang telah dibentangkan di Parlimen. SPRM ialah suatu badan pencegahan rasuah yang bebas. Justeru justifikasi pencegahan yang bebas memerlukan tafsiran yang jelas. Sehingga kini sebagai badan pencegahan rasuah yang bebas dipertikaikan oleh semua pihak. SPRM dilihat bekerja keras dan bersungguh-sungguh hanya melibatkan dakwaan dan penyiasatan rasuah di peringkat ‘ikan bilis’ dan pihak-pihak tertentu sahaja. Namun pelbagai dakwaan rasuah dan penyelewangan kuasa pihak berprofil yang melibatkan wang rakyat Ringgit Malaysia Berbillion masih terperuk dalam fail siasatan tanpa sebarang tindakan susulan.

        Mungkin alasan kekurangan tenaga penyiasat professional untuk membuat siasatan dan dakwaan boleh diterima. Namun alasan ini tidak relevan lagi selepas ini. Segala laporan rasuah yang dikemukakan kepada pihak SPRM perlu diteliti,disiasat dan jika cukup bukti bawa tertuduh ke mahkamah untuk proses seterusnya.

        Pada 25hb Februari lepas, sekumpulan anak muda daripada Angkatan Muda Keadilan Malaysia telah melaporkan 20 dakwaan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Ketua Pembangkang Selangor Dato’ Seri Mohd Khir Toyo yang berlaku sepanjang beliau menjadi Menteri Besar Selangor. Jika SPRM boleh pantas dalam membuat siasatan terhadap Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim dalam kes ‘car and  cow’  maka SPRM juga tiada alasan lain untuk melakukan siasatan terhadap 20 dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Mohd Khir Toyo.

        Mungkin SPRM boleh mendakwa 20 dakwaan tersebut memakan masa lama. Namun mungkin 1 atau 2 kes daripada 20 kes tersebut boleh disiasat dengan cepat dan pantas kerana SPRM sekarang perlu tampil dengan imej dan persepsi baru dalam usaha professional memerangi rasuah.

        Aksi anak muda daripada AMK membawa seekor lembu hidup di Plaza Massalam,Shah Alam merupakan satu simbol kekecewaan anak muda di Malaysia melihat tindakan SPRM seolah-olah dicucuk hidungnya oleh pihak-pihak tertentu.

        Kita mempersoalkan ke mana hasil siasatan kes video Linggam yang sehingga kini seolah-olah seperti kes tersebut hanya dalam fail sahaja tanpa jelas daripada segi tindakannya. Ke mana juga hasil siasatan terhadap kes Helikopter Eurocopter Agusta dan kapal selam Scorpene dan jet pejuang jenis Sukhoi.

        Terbaru pendedahan Karpal Singh terhadap pita rakaman audio yang dihantar ke Istana Negara yang mengandungi pengakuan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi yang merasuah seorang kakitangan mahkamah. Ia adalah audio ucapan Tan Sri Zaki semasa satu konvensyen di Kuching pada November lalu yang sehingga kini tiada tindakan susulan.

        Apa yang rakyat harapkan ialah SPRM mampu menjadi kuasa pencegahan rasuah dan juga kuasa yang boleh mendakwa kes rasuah. Peperangan memerangi rasuah tidak akan berhasil jika semua kes yang disiasat hanya tinggal di atas kertas.

        Akhirnya, rakyat menunggu 100 hari SPRM diperkasakan adakah akan terkenal sebagai badan tunggal negara memerangi rasuah atau akan hanya terkenal sebagai Malaysia Anti Cars and Cows’. Rakyat sedang menilai SPRM kini dan seterusnya.Ingatlah rasuah dan penyelewengan kuasa adalah pemusnah besar-besaran tamadun dan negara.


MOHD EZLI MASHUT

BEST OF THE BEST