Tuesday, 17 February 2009

Kenyataan Media


KENYATAAN MEDIA

UNTUK HEBAHAN SEGERA 

ANGKATAN MUDA KEADILAN BAHAGIAN KUALA SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

17hb FEBRUARI 2009 / 21HB SAFAR 1430 H

SOKONGAN  PADU KEPADA YB ELIZABETH WONG SEBAGAI ADUN BUKIT LANJAN DAN EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN

          Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kuala Selangor sebulat suara  memberikan sokongan dan dokongan yang padu kepada kepimpinan YB Elizabeth Wong untuk terus memimpin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri untuk DUN Bukit Lanjan dan juga Exco Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan. Ini disebebkan YB Elizabeth Wong  telah menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan penuh berdedikasi dan komited dalam perjuangan keadilan di negara ini.

        AMK Bahagian Kuala Selangor yakin pendedahan yang dibuat  mengenai kes foto tersebut bermotif jahat dan tidak bermoral yang hanya bertujuan untuk mematikan karier politik seseorang. Tindakan tegas perlu dikenakan kepada penyebar dan dalang dalam kejadian ini.

        AMK menegaskan agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan segera dan bebas tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak. AMK ingin menekankan agar hak peribadi seseorang perlu dilindungi daripada dicerobohi oleh mana-mana pihak sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan negara dan undang-undang.

        AMK juga akan terus memberi sokongan kepada YB Elizabeth Wong untuk menjalankan tugas dan amanah yang telah diberi oleh rakyat. Serangan peribadi yang tidak bertanggungjawab ini jelas menggambarkan bahawa ada ahli politik yang desperado yang berterusan menyerang kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor Darul Ehsan untuk meraih sokongan politik murahan.

        Tindakan ini juga sebenarnya satu konspirasi jahat untuk menjatuhkan kerajaan sah Pakatan Rakyat di Negeri Selangor sepertimana kes-kes yang sengaja direka sebelum ini di Perak dan Kedah. Kita ingin menegaskan bahawa pihak AMK akan terus mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor Darul Ehsan dan di seluruh negara. AMK yakin majoriti rakyat di Selangor tidak mudah terpengaruh dengan propaganda murahan yang dijaja oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan sempit politik mereka.

        AMK juga akan terus mempertahankan maruah peribadi seseorang wanita. Serangan peribadi yang mengaibkan YB Elizabeth Wong juga sebenarnya satu ancaman kepada maruah dan peribadi wanita di negara ini. Tindakan untuk menjatuhkan karier politik melalui tindakan tidak bermoral ini membuktikan betapa jijik dan kejinya pelaku yang menjadi dalang dalam kes ini.

        Akhirnya pihak AMK Bahagian Kuala Selangor akan terus mempertahankan maruah dan peribadi wanita daripada apa-apa jua pencerobohan hak dan ruang peribadi yang termaktub dalam perlembagaan negara dan undang-undang. Pihak berkuasa juga perlu bertindak pantas agar kejadian ini tidak menjadi satu budaya politik baru di Malaysia yang boleh menjejaskan keharmonian dan kebebasan rakyat semua.

Kenyataan Media:

 Mohd Faizal Baharuddin

Ketua Angkatan Muda Keadilan

Bahagian Kuala Selangor


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan Merangkap Setiausaha AMK

Bahagian Kuala Selangor