Friday, 27 February 2009

KENYATAAN MEDIA TOL NAIK 1 MAC 2009

Kenyataan Media

27hb Februari 2009 bersamaan 2hb Rabiul Awal 1430H 

UNTUK EDARAN SEGERA 

ANGKATAN MUDA KEADILAN BAHAGIAN KUALA SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

AMK KUALA SELANGOR MEMBANTAH KENAIKAN HARGA TOL TERKINI

        Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kuala Selangor sebulat suara menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga tol yang bermula pada 1hb Mac 2009 ini. Kenaikan mendadak ini sudah pasti akan meningkatkan kos perbelanjaan rakyat yang selama ini sudah dibebani dengan pelbagai kenaikan harga barang.

        AMK juga mendesak agar kabinet memikirkan semula kenaikan harga tol tersebut yang akan memberi impak kepada asas untuk kenaikan harga barangan selepas ini. Pada masa kegawatan ekonomi global masa kini yang turut melanda negara, sewajarnya kerajaan memikirkan kepentingan rakyat diutamakan berbanding dengan kepentingan para konsesi pemegang lebuhraya tersebut. 

        AMK merasakan kebimbangan dengan kenaikan harga tol ini. Kesannya terhadap perbelanjaan pengangkutan pasti akan meningkat. Malahan selepas ini akan berlaku pula trend kenaikan harga barangan yang pasti menyukarkan kehidupan semua lapisan rakyat di kawasan ini dan negara umumnya.

        Malahan kesan kenaikan tol ini juga pastinya akan memberi kesan kepada pengguna lebuhraya tersebut untuk berulang alik bekerja dan balik ke kampung. Kerajaan perlu bertindak bijak apabila menangani cabaran ekonomi negara masa kini yang perlu memberi penekanan kepada agenda perjuangan membela kebajikan rakyat.

        AMK juga menggesa agar lebuhraya baru di kawasan ini iaitu Lebuhraya antara Kuala Selangor – Kuala Lumpur yang masih dalam peringkat awal pembinaan dipantau kosnya. Ia adalah untuk memastikan apabila lebuhraya ini dibuka kelak ia tidak mendatangkan beban yang tinggi kepada perbelanjaan pengguna lebuhraya tersebut.

        Di samping itu juga AMK menggesa agar kerajaan persekutuan sentiasa mempertingkatkan taraf jalan persekutuan sebagai alternatif kepada pengguna yang tidak mahu menggunakan lebuhraya. Kerajaan sewajarnya memikirkan kebajikan rakyat dan tanggungjawab dalam memastikan rakyat mendapat pembelaan ketika dunia berada dalam cabaran kegawatan ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah moden.

        Kerajaan sewajarnya memikirkan pendekatan yang terbaik dalam menangani isu ini dengan tidak mencari jalan mudah dengan tunduk kepada desakan para konsesi pemegang lebuhraya. Pendekatan dan strategi lain perlu diambil sebelum langkah menaikkan harga tol di ambil.

Malahan pihak SPRM perlu melakukan sesuatu jika berlaku sebarang salah urus,penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam pengurusan lebuhraya ini seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.\

        Di samping itu AMK juga mendesak agar kerajaan menurunkan lagi harga petrol dan diesel kerana jajaran harga minyak dunia pada masa kini berada pada paras bawah USD40/tong. Penurunan harga minyak pasti memberikan sedikit kelegaan kepada semua lapisan rakyat agar dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.

        Akhirnya, AMK berharap kabinet menilai semula keputusannya menaikkan harga tol bermula 1 Mac 2009 ini dan juga mengharapkan agar kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel antara 20-30 sen seliter lagi. Semoga rakyat mendapat keselesaan dalam situasi ekonomi dunia yang mencabar ini.

 

Kenyataan Media Oleh :

Mohd Faizal Baharuddin

Ketua AMK Bahagian Kuala Selangor

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan Merangkap Setiausaha

AMK Bahagian Kuala Selangor

017-6543974 / ezli007@hotmail.com