Friday, 16 January 2009

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor Membeli Kereta Toyota Camry Satu Pilihan Bijak dan Tepat.

Kenyataan Media
ANGKATAN MUDA KEADILAN BAHAGIAN KUALA SELANGOR , PARTI KEADILAN RAKYAT
15hb Januari 2009 / 18hb Muharram 1430 H

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor Membeli Kereta Toyota Camry Satu Pilihan Bijak dan Tepat.

KUALA SELANGOR (15hb Jan) :Keputusan Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan membeli kereta Toyota Camry bagi menggantikan kereta rasmi Proton Perdana V6 dilihat satu pilihan tepat dan bijak. Dalam hal ini Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kuala Selangor yakin keputusan yang dibuat oleh kerajaan Negeri Selangor adalah untuk yang terbaik dalam menguruskan wang kerajaan Negeri dan wang rakyat secara berhemah dan bijaksana.

AMK Bahagian Kuala Selangor menyokong tindakan kerajaan negeri yang dilihat bersungguh-sungguh dalam menguruskan wang rakyat daripada terus terbazir jika tiada tindakan pantas dilakukan sekarang. AMK Bahagian Kuala Selangor juga yakin dengan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa ‘tiada kereta,rumah dan pejabat baru’ adalah bermaksud untuk mengelakkan berlakunya sebarang pembaziran wang rakyat. Pembelian ini sebenarnya adalah satu pembelian bijak untuk menyelamatkan wang rakyat daripada terus digunakan untuk penyelenggaraan kereta rasmi sebelum ini yang cukup tinggi harganya.

Justeru keputusan yang disepakati oleh barisan exco kerajaan negeri Selangor dalam isu Toyota Camry adalah satu tindakan ‘pre-emptive’ untuk mengelakkan berlakunya lebih banyak pembaziran wang rakyat dalam urusan penyelenggaraan kereta rasmi sebelum ini. Maka ini menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat lebih prihatin dan pintar dalam soal pembelanjaan wang rakyat daripada kerajaan negeri sebelum ini yang tidak prihatin dengan kepentingan wang rakyat secara umumnya.

AMK Bahagian Kuala Selangor juga menegaskan bahawa pembelian perlu dilakukan sekarang ketika mana iklim ekonomi dunia dilihat semakin merudum di mana negara kita sudah menerimanya tempiasnya. Oleh itu segala bentuk perbelanjaan wang rakyat perlu diperhalusi agar kepentingan rakyat terbela dalam jangka masa panjang. Kita juga ingin mengingatkan penggunaan kereta Toyota Camry adalah harta kerajaan hasil wang rakyat wajar digunakan dengan penuh amanah dalam melaksanakan amanah yang dipikul.

AMK Bahagian Kuala Selangor menggesa semua pihak agar menghentikan terus perdebatan berkaitan dengan ‘soal kereta’ di negeri ini kerana rakyat tidak mendapat faedahnya hasil polemik politik ini . Kita juga menggesa agar dalam saat negara berhadapan krisis ekonomi dunia semua pihak samada kerajaan negeri yang diterajui oleh Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim dan pembangkang yang diketua oleh Dato’ Seri Mohd Khir Toyo agar bersama-sama memacu pertumbuhan ekonomi negeri Selangor disamping membela nasib kepentingan rakyat keseluruhannya.

Kita juga ingin menegaskan agar ketua pembangkang di negeri Selangor ini menunjukkan sikap kematangan yang berbeza agar membawa agenda yang boleh memajukan minda rakyat. Hentikankanlah polemik politik yang sempit dan perlu membawa pendekatan siasah yang berbeza di negeri termaju di Malaysia ini. Saat ini juga semua pihak perlu menumpukan usaha bersama-sama di tahun baru 2009 ini untuk melaksanakan agenda pembangunan rakyat daripada segi fizikal,spritual dan intelek.

AMK Bahagian Kuala Selangor juga ingin mengingatkan kepada semua kepimpinan samada di peringkat pusat dan negeri agar menjauhi budaya untuk hidup bermewah-mewahan. Kita perlu belajar daripada sejarah kejatuhan tamadun-tamadun dunia yang hebat adalah disebabkan salah satunya terjebak dalam budaya bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan yang akhirnya menyebabkan negara boleh runtuh.

Akhirnya AMK Bahagian Kuala Selangor mengharapkan dengan pembelian ini akan menaikkan semangat para pimpinan kerajaan negeri untuk melipatgandakan usaha dan kerja keras memajukan negeri Selangor Darul Ehsan dan rakyat secara keseluruhannya. Pelajarilah kehidupan zuhud dan merendah diri seperti pemimpin hebat Khalifah Umar Abdul Aziz yang akhirnya negara Islam pada waktu ketika itu berjaya membina peradaban ummah yang gemilang dan rakyatnya hidup penuh dengan keberkatan dan keadilan.

Mohd Faizal Baharuddin
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Bahagian Kuala Selangor

Di sediakan oleh :

Mohd Ezli Bin Mashut
Ketua Penerangan Merangkap Setiausaha AMK Bahagian Kuala Selangor
No Tel : 017-6543974 / email : ezli007@hotmail.com