Thursday, 6 November 2008

WARKAH TERBUKA UNTUK BARACK OBAMA


Warkah Terbuka Untuk Presiden Amerika Syarikat ke- 44 : Barack Obama



Mohd Ezli Mashut
Ijok,Bestari Jaya
Kuala Selangor
Malaysia.

05hb November 2008

Salam Keamanan Dan Keadilan Untuk Dunia .

Salam setinggi tahniah ditujukan khas kepada Tuan Presiden Amerika Syarikat ke-44 yang baru atas pilihan rakyat Amerika sendiri. Tahniah juga di atas kemenangan bersejarah Tuan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama kerana menjadi warga kulit hitam pertama yang memegang tampuk tertinggi negara kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan penghuni baru White House.

Warkah ini ditaip selepas sahaja mengetahui kemenangan bersejarah Tuan President Barack Obama melalui media-media massa. Pilihanraya President 2008 amat dinanti-nantikan di seluruh dunia yang juga menunggu apa reformasi yang akan dilaksanakan untuk mencapai keamanan dan keadilan dunia pada masa akan datang.

Tuan Presiden Barack Obama,

Umum mengetahui selepas pasca 11 September 2001 hubungan di antara negara-negara Islam dan negara Tuan Presiden semakin rapuh. Malahan kesan daripada peristiwa ini telah menyebabkan pentadbiran Presiden Bush menyerang dua buah negara Islam iaitu Afghanistan dan Iraq.

Akibatnya jutaan jiwa yang tidak berdosa terkorban. Anak-anak menjadi yatim piatu kematian ibu dan bapa. Kemusnahan hidup dan ekonomi yang menyebabkan jutaan lagi mengalami hidup yang serba daif dan melarat.

Pada kesempatan ini, adalah di gesa sebaik sahaja Tuan Presiden Barack Obama mengambil alih tugas sebagai President, berikut adalah perkara yang wajar dilaksanakan oleh pentadbiran baru:


Pertama : Membuka kembali penyiasatan (ReOpen Investigation) terhadap peristiwa 11 September 2001. Mendedahkan siapa dalang sebenar kejadian ini yang telah memisahkan jurang antara dunia Islam dan dunia Barat.

Dengan membuka kembali siasatan peristiwa ini maka masyarakat dunia dapat mengetahui siapa yang menjadi dalang dalam kejadian ini. Justeru siasatan ini hendaklah dianggotai oleh panel bebas antarabangsa yang mempunyai kuasa-kuasa khas yang boleh menyiasat secara telus terhadap organisasi-organisasi yang diragui kredibilitinya. Kita mengharapkan agar hubungan baik di antara dunia Islam dan dunia Barat dapat diperkukuhkan untuk menjamin keadilan dan keamanan dunia.

Kedua : Menarik balik tentera-tentera Amerika Syarikat daripada bumi Afghanistan dan Iraq serta seluruh dunia.

Bagi menjamin keamanan dapat dilaksanakan daripada bumi Afghanistan dan Iraq. Maka pengunduran bala tentera negara Tuan Presiden amat penting untuk kesejahteraan negara-negara yang telah di serang. Selagi mana ianya tidak diundurkan maka ianya akan lebih membawa kepada suasana tidak aman di negara-negara tersebut. Sudah tiba masanya bala tentera Amerika Syarikat keluar daripada bumi negara-negara Islam secepat mungkin sebelum dikalahkan dengan lebih teruk dan memalukan lagi.

Ketiga : Mewujudkan kembali dunia yang lebih aman dan adil. Kembalikan semangat untuk dunia yang lebih selamat.

Untuk mencapai keamanan dunia adalah dicadangkan kepada agar polisi luar negara Tuan Presiden diubah terhadap negara-negara yang dianggap sebagai negara musuh sebelum ini. Kami ingin melihat dan mengidam-idamkan agar Tuan Presiden dapat berjabat tangan dengan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad sebagai tanda perdamaian yang mana tegang sebelum ini. Masyarakat dunia amat memerlukan kepimpinan baru Amerika Syarikat berubah sebagai mana slogan pilihanraya presiden sebelum ini yang menganjurkan perubahan.

Keempat : Memulihkan ekonomi dunia yang semakin menuju ke arah kemelesatan yang teruk dalam sejarah dunia.

Untuk tujuan ini, saya ingin mengesorkan agar Tuan Presiden kembali menilai semula sistem kewangan dunia yang bersandarkan wang kertas. Gunakan kembali sistem matawang dinar yang lebih terjamin dan kukuh terhadap sebarang krisis ekonomi dan kewangan yang teruk. Maka ianya dapat mengelakkannya daripada berlakunya krisis kewangan dunia yang akan menyukarkan masyarakat dunia secara keseluruhannya.

Kelima : Bebaskan bumi Palestin dan Baitul Maqdis daripada cengkaman Zionist.

Ini adalah cabaran terbesar yang perlu Tuan Presiden selesaikan yang menghantui permasalahan di Asia Barat. Bumi Palestin dan Baitul Maqdis perlu dikembalikan kepada pemilik sebenarnya. Selama mana persoalan ini tidak dirungkaikan selama-mana juga perbezaan di antara Amerika Syarikat dan dunia Islam secara keseluruhannya tidak akan selesai.

Kami masyarakat dunia mengharapkan agar harapan baru untuk dunia yang lebih adil dan aman tercapai. Dunia sudah lama menanti akan wujudnya suasana yang lebih aman.

Akhirnya sampai di sini sahaja warkah terbuka ini. Semoga dunia pasca 20hb Januari 2009 selepas Tuan Presiden menangkat sumpah ini lebih adil dan aman. Kotakan janji Tuan Presiden yang telah dicanang-canangkan sebelum. Dunia kini menanti-nanti PERUBAHAN DUNIA yang akan dilaksanakan di bawah kepimpinan Tuan Presiden Amerika Syarikat ke -44.


Sekian, terima kasih,


KE ARAH DUNIA YANG LEBIH ADIL DAN AMAN

Mohd Ezli Bin Mashut
www.ezli007.blogspot.com