Tuesday, 8 April 2008

ISU KHINZIR DI SELANGOR DARUL EHSAN


Isu KHINZIR : Kerajaan Selangor Urus Isu Dengan Professional dan Bijak.
Oleh : Mohd Ezli Mashut

LL. B ( Hons)

ezli007.blogspot.com / ezli007@hotmail.com / 019-2376543


Isu projek penternakan Babi timbul lagi di Selangor. Isu ini cuba dimainkan oleh pemimpin desperado UMNO untuk menagih simpati daripada kalangan masyarakat Islam yang cukup sensitif dengan haiwan tersebut. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat berhasrat untuk mewujudkan sistem penternakan khinzir yang termoden berharga RM100 juta yang akan dilaburkan oleh penternak-penternak terbabit. Menurut Exco Kerajaan Negeri Selangor ,Teressa Kok projek ini adalah untuk sebagai model pembangunan terancang kepada negeri-negeri lain di Malaysia yang selama ini juga masih kalut dalam menangani dengan professional dan bijak dalam isu ini.


Isu ini sebenarnya amat jijik untuk didebatkan secara umum. Usaha saya menulis ini adalah agar satu penyelesaian mengenai masalah ini dapat ditanganani dengan bijak dan professional. Malahan penyelesaian dan komitmen terhadap isu ini juga menggambarkan keprihatinan kerajaan baru Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu ini dengan baik dan berhikmah setelah kegagalan kerajaan Selangor pimpinan lepas melaksanakan satu model penyelesaian yang memberi kemenangan (win-win situation) kepada semua pihak di Selangor Darul Ehsan.


Sebenarnya untuk rekod yang bersumberkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Selangor 2004 yang dipetik daripada data sehingga Julai 2004 di Selangor jumlah ternakan khinzir di Selangor berjumlah 228,414 ribu ekor mengatasi dari segi jumlah ternakan-ternakan lain seperti kerbau, lembu, Kambing dan berbiri yang jumlah kesemuanya dijumlahkan berjumlah hanya 34,164 ekor . Data terbaru untuk statistik 2007 masih belum diperolehi namun ianya pasti tidak banyak berbeza daripada segi jumlah peratusan perbezaannya antara ternakan dalam ketegori Halal dan Haram menuru Islam.


Pada pandangan umum rakyat sebenarnya dengan langkah terkini Kerajaan Selangor yang baru ini untuk memperkenalkan teknik terbaru dalam isu penternakan ini sebenarnya akan menyelesaikan banyak masalah yang timbul dalam isu penternakan haiwan ini. Mungkin jumlah khinzir di Selangor melebihi jumlah yang disangkakan daripada statistik yang diperolehi oleh agensi kerajaan kerana wujud juga penternak-penternak babi yang tidak berdaftar dan melakukannya tanpa pemantauan mana-mana pihak.


Dengan mewujudkan pusat penternakan secara berpusat dan termoden ini ianya akan membantu Negeri Selangor Darul Ehsan dalam isu menangani permasalahan yang timbul daripada haiwan ternakan ini :


Pertama : Penternak Babi secara haram dapat dibanteras dengan baik.


Jumlah data mengenai jumlah penternak Babi secara haram di Selangor tidak dapat diperolehi secara tepat. Dengan wujudnya penternakan secara berpusat dan bersistem termoden ini maka kewujudan secara haram penternak babi yang banyak di Selangor akan dapat dikurangkan jumlahnya. Dengan pemantauan ini maka akan memudahkan agensi kerajaan untuk memantau kesihatan dan pergerakan haiwan ini di Selangor. Justeru dapat mengelakkan kesan dan impilkasi tidak sihat daripada haiwan ini.


Malahan populasi babi juga dapat dikurangkan kepada sekitar jumlah yang munasabah untuk memenuhi permintaan dalaman masyarakat pengguna bukan Islam di Selangor. Pastinya jumlah ternakan babi yang keterlaluan bakal mengundang pelbagai implikasi tidak sihat terhadap kesihatan rakyat dan juga sensitiviti umat Islam di negara ini.


Kedua : Kawalan Kesihatan yang berpunca daripada Babi dapat di atasi.


Dengan wujudnya pusat penternakan dan penyembelihan khinzir berpusat dan termoden ini sebenarnya dapat mengawal dengan baik sebarang penyakit bawaan daripada haiwan ini khususnya penyakit J.E yang telah menggemparkan negara pada suatu masa ketika dahulu. Dengan kawalan dan pemantauan berterusan daripada Jabatan Haiwan dan Kementerian Kesihatan di harap ‘outbreak’ daripada endemik penyakit berpunca daripada Khinzir dapat dikawal dan ditangani dengan pantas.


Situasi kini di mana para penternak khinzir berselerak di negeri Selangor tanpa sebarang kawalan dan pemantauan berterusan dan rapi daripada agensi-agensi terbabit dalam hal ini akan menyukarkan tindakan dan kawalan yang boleh dilaksanakan jika perkara ini terjadi yang memerlukan tindakan pantas dan tepat. Pihak berkenaan boleh terus ke tempat kejadian dengan pantas dan mengawal penyakit bawaan daripada menyerang dan mengancam kesihatan awam.


Malahan dengan pengurusan yang sistematik dan termoden ini akan menyelesaikan masalah berkaitan dengan pencemaran alam yang dikaitkan dengan haiwan ini di Selangor. Kes pencemaran air di Semenyih akibat pecemaran air Sungai Semenyih yang menyebabkan loji terpaksa di tutup sementara telah mengundang masalah bekalan air kepada pengguna. Ianya pasti menyebabkan berlakunya banyak permasalahan akibat pencemaran ini yang boleh mengancam masyarakat umum.


Dengan wujudnya pusat ternakan termoden maka kita berharap masalah pencemaran sungai yang diakibatkan oleh pelepasan sisa buangan daripada najis-najis khinzir ini dapat diselesaikan. Malahan sensitiviti dan kesihatan umat Islam dan rakyat umumnya akan lebih selamat dan terjamin daripada membiarkan para penternak khinzir melakukan penternakan ini secara berselerakan di seluruh negeri Selangor yang akan lebih memberi ancaman wabak penyakit jika berlakunya sesuatu di luar dugaan.


Ketiga : Kawalan Terhadap Masalah Pengangkutan Khinzir Tanpa Mengira Waktu Boleh Diperbaiki.


Persoalan ini sebenarnya telah lama berpanjangan. Pernahkah anda bertembung dengan lori-lori yang membawa khinzir ini di waktu siang hari. Masakan pihak Ketua Pembangkang Kerajaan Negeri Selangor tidak menyedari hal ini apabila jalan raya di hadapan rumah ketua pembangkang sendiri di Dun Sungai Panjang berhadapan dengan situasi sepanjang masa sehingga kini. Masalah bau dan pencemaran daripada usaha untuk mengangkut haiwan ini daripada ladang ternakan untuk ke pusat penyembelihan atau penggunanya telah menimbulkan pelbagai implikasi kepada sensitiviti masyarakat Islam dan Bukan Islam. Ianya bukan sahaja soal halal dan haramnya tetapi menjangkau persoalan kesihatan yang berpunca daripada haiwan ini yang telah dibuktikan secara saintifik.


Malahan Islam mengharamkan memakan haiwan ini kerana ianya mempunyai pelbagai implikasi kesihatan kepada tubuh badan manusia. Justeru pendidikan dan penerangan kepada masyarakat bukan Islam terhadap kawalan memakan haiwan ini juga perlu di beri agar kesihatan mereka juga terjamin dalam jangka masa panjang. Hikmahnya Islam apabila sahaja umat Islam memegang atau terpegang sahaja khinzir dan anjing dengan menyamak dengan tanah sekali dan air sebanyak 6 kali sebenarnya adalah satu prosedur kawalan kesihatan untuk mengelakkan berlakunya jangkitan kuman-kuman yang di bawa oleh haiwan ini yang boleh mengancam kesihatan manusia.


Justeru dengan adanya pusat ternakan khinzir ini maka soal pengangkutan haiwan ini dapat diselesaikan dengan baik malahan dicadangkan pusat itu juga bertindak sebagai satu-satunya pusat penyembelihan berdaftar yang dipantau oleh agensi-agensi kerajaan terbabit untuk mengatasi masalah pengangkutan khinzir ini melalui jalan-jalan dengan tidak mengikut waktu yang telah ditetapkan. Malahan kita berharap apabila permintaan dalam negeri dipenuhi maka tidak perlu timbul soal pengimportan daripada negeri-negeri lain.


Keempat : Membantu Usaha Mewujudkan Kawasan Hub Halal dan Pengeluaran Bahan Makanan Halal di Negeri Selangor Terjamin.


Untuk mendapatkan kelulusan Halal daripada Majlis Agama Islam dan Jakim. Beberapa peraturan yang mengkehendaki satu jarak yang munasabah jauhnya telah ditetapkan sebelum kelulusan halal dapat diberikan. Dengan pertambahan dan kemajuan negeri Selangor yang kian pesat membangun. Pastinya penternakan khinzir yang berselerakan di negeri ini mengundang pelbagai implikasi.


Apabila pusat penternakan khinzir ini wujud kelak maka rakyat tidak perlu lagi risau dengan masalah penternak-penternak khinzir secara haram dan berleluasa yang akhirnya membawa masalah-masalah seperti pencemaran bau dan pencemaran air sungai serta air bawah tanah apabila kadar nitrogen dalam kandungan air melebihi kadar yang sepatutnya mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar.


Kita berharap tidak akan berlaku lagi kes-kes seperti pencampuran antara daging khinzir dengan daging ternakan haiwan lain sepertimana yang kecoh berlaku sebelum ini. Kenderaan yang membawa haiwan khinzir ini sepatutnya hanya dibolehkan membawa haiwan khinzir sahaja dan dilarang keras sama sekali membawa barang-barang makanan lain kerana ianya akan menyebabkan kehalalan dan kesucian makanan yang halal itu diragui statusnya. Isu ini sebenarnya ramai pihak terbabit terlepas pandang dan mengangap isu ini hanyalah isu sementara sahaja tanpa tindakan konkrit dan komprehensif.


Kewujudan kawasan yang ditetapkan khas ini akan memberikan keyakinan kepada pengguna-pengguna Islam sendiri untuk tidak ragu-ragu lagi akan wujudnya kawasan ternakan khinzir ini di kawasan kediaman mereka yang mungkin semakin berdekatan dari hari ke hari sejajar dengan kemajuan pesat pembangunan kediaman di negeri Selangor. Malahan kilang-kilang dan pengeluar produk halal akan berasa ebih selesa dengan tidak adanya lagi penternakan khinzir ini tanpa kawalan dan pemantauan daripada agensi terbabit.


Kita juga mengharapkan kebijaksanaan dan sensitiviti umat Islam dijaga dengan baik kerana kita tinggal untuk menikmati keselesaan dan keharmonian dan saling dalam percaya mempercayai antara satu sama lain. Kita berharap juga tidak akan berlaku produk-produk yang dikeluarkan untuk produk halal tercampur dengan bahan-bahan yang haram di sisi Islam ini yang boleh menyebabkan produk itu sudah haram untuk di makan oleh umat Islam lagi.


Kebijaksanaan dan Professionalisma Kerajaan Selangor di Hargai.


Usaha – usaha pendidikan kepada masyarakat umat Islam juga perlu dipergiatkan. Umat Islam di Malaysia cukup sensitif dengan isu ini dan ianya juga amat dihargai dan dipuji tinggi. Sewajarnya juga perasaan jijik ini juga perlu diteruskan kepada isu-isu lain seperti soal halal dan haram makanan yang dimakan sehari-hari daripada unsur-unsur penipuan, rasuah, penyelewengan dan pencurian. Jika umat Islam merasa jijik untuk memegang sahaja haiwan ini maka kita juga wajar merasa jijik yang amat sangat terhadap memegang wang daripada rasuah, penipuan dan pemerasan. Malahan kita juga merasa jijik terhadap tingkah laku pemimpin yang rasuah dan menyeleweng serta menyalahgunakan kuasa yang diberikan mandat oleh rakyat.


Kita menghargai usaha dan tekad baru Kerajaan Baru Negeri Selangor Darul Ehsan untuk menyelesaikan isu-isu terbengkalai kerajaan pimpinan Negeri Selangor yang lepas. Diingatkan kepada para pembangkang kerajaan Negeri Selangor. Sebenarnya isu ini adalah isu anda yang lepas. Kegagalan untuk melaksanakan model penyelesaian yang bijak dan professional merupakan tamparan hebat kepada pemerintah yang lepas.


Di atas rasa dan tanggungjawab yang tinggi di kalangan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor yang baru membawa satu lembaran baru dalam aspek pengurusan isu terbengkalai pimpinan lepas. Kita yakin bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang baru bijak dan professional dalam mendepani isu-isu sensitif dan kritikal. Malahan kebijaksanaan mereka teruji untuk tidak mengikut emosi sahaja tetapi bersandarkan kepada kekuatan ilmu dan kepakaran yang mereka ada selama ini dalam memperjuangkan nasib dan masa hadapan negeri dan rakyat.


Penternakan Industri Haiwan Halal Lain Juga Perlu Mendapat Perhatian.


Industri tenakan di negeri Selangor ini masih mempunyai potensi yang banyak untuk dikomersilkan. Malahan kita juga mencadangkan diwujudkan juga projek-projek ternakan moden yang menepati piawaian Islam dan antarabangsa dipergiatkan di negeri Selangor. Dengan jumlah penduduk tempatan dan rakyat asing sebenarnya untuk memenuhi permintaan bekalan daging masih jauh daripada mencukupi. Kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada negara-negara luar atas faktor kewangan negara dan bekalan daging mentah yang segar dan selamat di makan.

Dengan kos yang semakin meningkat dalam pengeluaran daging mentah ini dalam soal penjagaan dan makanan. Ianya pasti mengundang kenaikan harga barangan makanan ini di pasaran. Justeru kewujudan pusat ternakan daging halal di Selangor juga wajar mengatasi jumlah populasi khinzir yang mempunyai jurang kuantiti yang amat melebar daripada setahun ke setahun.


Kita juga merasa pelik dan jelik dengan kenyataan daripada pemimpin pembangkang di Selangor ini seolah-olah mereka tidak menyedari fakta bahawa jumlah ternakan khinzir di Selangor Darul Ehsan berlipat kali ganda berbanding dengan jumlah ternakan untuk daging yang halal di negara ini. Apakah mereka sebagai pemerintah yang lepas terlupa untuk menangani masalah ini.


Harapan Kepada Kerajaan Negeri Selangor yang baru.


Rakyat sebenarnya mengharapkan satu penyelesaian yang dapat menyelesaikan masalah-masalah lain yang timbul. Perbincangan dan dialog secara sihat dan penerangan dalam isu ini dan lain-lain wajar diberi keutamaan. Media-media arus perdana juga perlu bersifat professional dalam hal ini dan pelbagai isu. Jangan sampai pada satu ketika rakyat Malaysia khususnya di negeri Selangor merasa jijik dengan laporan terhadap isu khinzir ini dengan menyamakan media-media arus perdana setaraf dengan kejijikan terhadap haiwan tersebut. Rakyat sudah matang dan bermaklumat. Sebarang provokasi untuk melaga-lagakan rakyat tidak akan membawa Malaysia dan Negeri Selangor ke mana-mana.


Kita berhadapan dengan cabaran untuk membawa negara ke era yang lebih jauh. Kita sudah jauh ketinggalan daripada segi pencapaian ekonomi dengan Singapura , Taiwan dan Korea Selatan yang sebelum ini setanding dengan Malaysia. Tetapi kini kita terpaksa bersaing dengan negara seperti Myanmar dan Vietnam pula.


Semoga kerajaan dan pimpinan Negeri Selangor yang masih berumur belum 100 hari menunjukkan kecekapan dan kewibawaannya. Nampaknya usaha dan penyelesaian rakyat di bawah pimpinan Pakatan Rakyat lebih bersungguh-sungguh berbanding kerajaan pusat di bawah Pak Lah yang masih menyelesaikan masalah kepimpinan dikalangan mereka. Tiada isu rakyat yang benar-benar ‘direct’ kepada rakyat sudah di atasi pasca PRU 12. Ingatlah rakyat sentiasa menilai semua kepimpinan yang dipilih pada PRU 12 ini dengan penuh taakul dan berterusan.