Thursday, 21 February 2008

BARISAN RAKYAT MEMBAWA ASPIRASI 50 TAHUN MALAYSIA


BARISAN RAKYAT MEMBAWA ASPIRASI 50 TAHUN MALAYSIA


Oleh : Mohd Ezli Mashut

LL.B (Hons)

ezli007@hotmail.com / ezli007.blogspot.com


SOKONG BARISAN RAKYAT : MALAYSIA MAJU 50 TAHUN KE HADAPAN....SOKONG BARISAN NASIONAL : MALAYSIA KETINGGALAN 50 TAHUN KE HADAPAN...


Malaysia adalah tanah harapan dan impian besar rakyat dan dunia. Sejarah menjadi saksi bahawa tanah di gugusan nusantara ini adalah ‘lembah emas’ yang menjadi perhatian kuasa-kuasa besar dunia. Malahan di sini adalah pusat perdagangan dunia yang penting pada abad ke-14 dan 15. Kegemilangannya membawa kemakmuran masyarakat kepulauan nusantara asia barat dan timur serta Eropah.


Ke mana halatuju Malaysia 50 tahun daripada sekarang. Di mana kekuatan ekonomi Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global di era globalisasi dan liberalisasi. Apakah kepimpinan yang ada sekarang mampu untuk membawa aspirasi dan impian rakyat Malaysia dalam persaingan global. Apakah kewujudan pembangunan 5 buah koridor yang dilancarkan mampu membawa Malaysia berada di hadapan dalam kelompok negara maju dunia ?


Kita yang berada di tahun 2008 ini perlu memikirkan masa hadapan anak-anak kita pada kehidupan masa hadapan. Apakah kita menyediakan suasana yang kondusif untuk mereka menunjukkan potensi dan skil mereka di negara ini. Apakah kita menyediakan pembelajaran masa hadapan untuk mereka bersaing dengan masyarakat dunia maju dengan kemunculan bakal kuasa besar dunia seperti China dan India pada masa hadapan ? Ini persoalan yang perlu diselesaikan oleh pimpinan negara pasca pilihanraya umum ke-12.


Melihat kepada kualiti dan realiti kepimpinan yang ada sekarang. Kita melihat gaya kepimpinan 4 tahun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Malaysia umumnya semakin dipersoalkan. Agenda Islam Hadhari yang di bawa lebih menimbulkan pelbagai persoalan dan falsafah penghayatannya. Apakah sudah direalisasi gagasan Islam Hadhari diterjemah dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat Malaysia amnya ? .


Berbeza dengan gaya kepimpinan Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim yang berkarisma dan berkeupayaan tinggi peringkat global dan dunia Islam. Malahan walaupun sudah tidak menjawat jawatan penting dan tinggi dalam kerajaan, idea dan saranan beliau terhadap persoalan ummah dan sejagat menjadi rujukan pemimpin peringkat dunia dan korporat antarabangsa. Ini sebenarnya gaya kepimpinan yang menjadi impian dan harapan rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran dunia 50 tahun lagi.


Rakyat Malaysia sebenarnya memerlukan sebuah model kepimpinan dan kerajaan yang mempunyai idea-idea pembangunan negara dan dunia untuk kepentingan semua. Rakyat Malaysia tidak mahu lagi model kepimpinan dan kerajaan yang banyak melakukan pembaziran dan penyelewengan wang rakyat untuk kepentingan sendiri dan kroni. Rasuah dibiarkan berleluasa di peringkat bawahan dan atasan samada sektor korporat dan politik. Ini yang akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam arus kemajuan ekonomi di Asean dan global. Realitinya sekarang daya saing ekonomi negara terus jatuh merudum di peringkat Asean dan kini ketinggalan di belakang pertumbuhan ekonomi Vietnam dan negara-negara Asean lain.


Di bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi OIC menampakkan kelemahan ketara dalam menangani persoalan ummah sejagat. Konflik Israel dan Palestin masih jauh daripada jalan penyelesaiannya tetapi melihat kepada prestasi dan usaha yang dijalankan menunjukkan kewibawaannya lemah untuk mengangkat martabat ummah sejagat dan mengembalikan maruah Islam yang tercabar di seluruh dunia. Bagaimana nasib pembelaan masyarakat Islam di Palestin, Afrika , Eropah dan benua Asia yang memerlukan kepimpinan yang unggul dan dinamik. Dalam hal ini Mahmoud Ahmadinejad di lihat lebih berkaliber dan prolifik dalam mendepani masalah maruah ummah di peringkat global.


Dunia pada hari ini dikuasai oleh pengaruh kuasa besar dunia Amerika Syarikat. Ketiadaan pencabar kepada kuasa unipolar ini menyebabkan percaturan dunia banyak dimainkan oleh tangan-tangan di Washington. Dalam hal Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima campurtangan asing dalam dasar hal ehwal dalaman dan luar negara. Perjanjian Free Trade Agreement (FTA) jika tidak berhati-hati akan menyebabkan Malaysia dijajah dalam hal ehwal ekonomi di mana akan menyebabkan Malaysia tidak mempunyai kekuatan lagi dalam halatuju masa hadapannya.


Dasar luar Malaysia terhadap Singapura mutakhir ini banyak dilihat lebih menguntungkan Singapura dalam jangka masa pendek dan panjang. Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dibimbangi dipengaruhi oleh Singapura melalui agen-agen yang memang akan cuba mempengaruhi pentadbiran negara jika tiada sebarang usaha untuk menghalangnya. Malaysia perlu bertegas dalam beberapa isu utama yang melibatkan kedaulatan negara. Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) perlu dibangunkan dengan baik dan terurus agar Selatan Johor kelak pada masa hadapan tidak hilang kedaulatannya kepada anasir – anasir asing melalui penjajahan secara terancang tanpa disedari.


Bagaimana dengan PRU-12 ini adakah Malaysia bebas daripada percaturan anasir asing samada daripada Singapura atau lain-lain. Untuk menganalisis isu ini ia dapat dilihat dengan mengkaji dasar luar Malaysia terhadap Singapura sebelum ini. Dalam tulisan-tulisan di blog-blog ditimbulkan kebimbangan bahawa kemenangan Barisan Nasional adalah juga dipengaruhi oleh percaturan politik di Singapura. Kenyataan Bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yuew yang memuji perkembangan ekonomi Malaysia di bawah pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi ketika hampirnya detik pilihanraya juga mengundang pelbagai spekulasi terhadap dasar luar negara pimpinan BN.


Di Thailand salah satu puncanya berlaku rampasan kuasa secara aman oleh tenteranya adalah kerana kepimpinan Perdana Menteri sebelum rampasan Thaksin telah menjual kepentingan aset strategik negara kepada Singapura . Ini yang menyebabkan berlakunya rakyat dan tentera merasa marah kepada Thaksin dan menggulingkannya.


50 tahun Malaysia di bawah kerajaan Barisan Nasional memang diakui membawa banyak perubahan. Namun itu adalah lumrah bagi kerajaan yang dipilih rakyat untuk mentadbir dan mengurus negara. Jika di bawah pentadbiran Barisan Nasional berbangga dengan kemajuan infrastruktur yang diwar-warkan kelas dunia tetapi hakikatnya jika di banding dengan negara-negara yang lebih maju kita jauh ketinggalan daripada tahap pengurusan aset dan kualiti modal insannya. Kemunculan bakal kuasa ekonomi dunia masa hadapan seperti China dan India , Malaysia perlu meletakkan satu standart yang tinggi untuk berhadapan dengan perkembangan ekonomi dunia yang lebih kompetetif. Untuk itu ‘Reformasi Ekonomi Malaysia’ perlu dilakukan agar ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan pada masa hadapan.


Dalam Reformasi Ekonomi Malaysia, kita perlu merangkas strategi yang bersesuaian di mana nasib dan kepentingan rakyat tidak diabaikan tanpa mengira bangsa. Kemajuan perniagaan sewajarnya tidak lagi bergantung kepada hubungan akrab dengan pimpinan politik tetapi maju dengan keupayaan diri sendiri. Dengan itu, perniagaan dan ekonomi Malaysia mampu untuk bersaing di peringkat global seperti kuasa ekonomi dunia iaitu China, India , Jepun dan Amerika Syarikat. Sekarang apa yang berlaku adalah di mana untuk maju para usahawan kadang-kadang terpaksa dan perlu bergantung kepada orang-orang politik untuk mendapatkan bantuan dan dana. Malahan pemberian kontrak, tender , lesen dan permit juga dipengaruhi oleh orang-orang politik . Perkembangan ini hanya akan menyebabkan kemajuan perniagaan dan ekonomi negara menjadi semakin perlahan.


Justeru itu ketelusan, keadilan dan profesionalisme dalam urusan perniagaan perlu dipertingkatkan. Rasuah yang menjadi api dalam sekam ini perlu diperangi sehabis-habisnya. Kita mahu melihat Reformasi Ekonomi Malaysia menjadi agenda utama bagi Barisan Rakyat dalam perjuangannya pasca pilihanraya umum ke -12 ini. China dan India yang semakin maju dalam ekonominya kerana lebih menekankan kepada pembangunan sumber manusianya yang mempunyai skil dan kemahiran yang tinggi. Pakar-pakar IT daripada India kini lebih hebat daripada pakar-pakar IT di MultiMedia Super Coridor. Walaupun Malaysia mempunyai infrastruktur MSC yang hebat tetapi kita jauh ketinggalan daripada India. Hal ini ditegaskan dalam buku ‘The World Is Flat’ karya tulisan Thomas L. Freidman yang menyatakan kekagumannya terhadap kemajuan teknologi maklumat India mutakhir ini. Salah satu faktornya adalah pembangunan sumber manusia itu perlu dibangunkan segera serentak dengan pembangunan infrastrukturnya. Malaysia perlu menjadikan negara ini impian dan aspirasi generasi akan datang. Kita mahu mereka tidak perlu ke luar negara untuk membuktikan skil dan kemampuan mereka di peringkat global.


Strategi Malaysia dalam pembangunan ekonominya perlu seiring dengan kemajuan sains , teknologi dan inovasi dunia. Pelaburan terhadap penggunaan teknologi termaju perlu dipertingkatkan disamping pembangunan inovasi baru untuk mencetus perkembangan terkini sumber ekonomi negara. Malahan sumber tenaga baru yang bersesuaian untuk Malaysia perlu diusahakan dengan giat bagi mengelakkan kebergantungan negara kepada sumber yang tidak boleh diperbaharui. Kita perlu belajar daripada strategi Iran dalam pembangunan sumber tenaga. Walaupun masih menjadi antara pengeluar utama minyak dunia Iran merangka strategi untuk tidak bergantung kepada sumber minyaknya bagi kegunaan dalam negara. Oleh itu Iran boleh menjadi pengeksport bersih minyak yang utama di dunia.


Melihat kepada realiti ini apakah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi mampu membawa Reformasi Ekonomi Malaysia ? . Tahun 2008 adalah detik yang cukup getir kepada ekonomi dunia khususnya apabila ramalan berlakunya kelembapan ekonomi dalaman Amerika Syarikat yang dilihat akan mempengaruhi iklim ekonomi global dan negara. Kepimpinannya belum pernah teruji untuk berhadapan dengan cabaran getir kemeruduman ekonomi . Apakah pertimbangannya kelak apabila berhadapan dengan kenyataan ini adakah kepentingan rakyat dan negara diutamakan atau kepentingan perniagaan anak-anaknya dan kroninya sahaja ?.


Oleh itu 08 Mac 2008 adalah tarikh penting negara untuk 50 tahun hadapan. Di mana kita hendak meletakkan kedudukan negara selepas tarikh ini. Pemilihan pentadbiran baru yang mempunyai inovasi dan idea-idea pembangunan yang hebat dan mengutamakan kepentingan rakyat adalah diperlukan. Hanya perubahan kepimpinan negara dilihat mampu membawa anjakan paradigma masa hadapan Malaysia.


Kepada 10,922,139 bakal pengundi, anda adalah penentu masa hadapan 50 tahun negara. Malaysia amat memerlukan pemimpin utama yang mampu mengangkat martabat negara dan ummah amnya. Pilih pemimpin yang mampu membela nasib dan kepentingan rakyat secara konsisten. Ini adalah harapan anak-anak kita generasi masa hadapan. Kita perlu menjadi perintis kepada perubahan ini. Kita perlu melakar sejarah baru Malaysia dan bukan sekadar hanya menjadi pemerhati kepada sejarah. Pengurusan dan urus tadbir negara perlu ditukar bagi memastikan agenda Reformasi Ekonomi Malaysia dapat dilaksanakan.


Ayuh rakyat Malaysia !...Detik 11 malam tanggal 08 Mac 2008 kita doakan wujud satu pembaharuan dalam siasah dan demokrasi negara. Kita tabalkan Barisan Rakyat sebagai kerajaan baru Malaysia. Semoga aspirasi rakyat Malaysia 50 tahun lagi terjamin di bawah pemerintahan baru yang lebih adil dan saksama. Hanya keyakinan dan semangat perjuangan anda semua mampu membawa Malaysia ke era baru. Semoga kita menjadi sebahagian daripada sejarah pembaharuan Malaysia ini.

MESEJ UNTUK 10,922,139 PENGUNDI :
SEMINIT MENGUNDI BARISAN RAKYAT : 50 TAHUN MASA HADAPAN MALAYSIA TERJAMIN...