Tuesday, 22 January 2008

APABILA PARLIMEN DAN DEWAN UNDANGAN NEGERI DIBUBARKAN...


APABILA PARLIMEN DAN DEWAN UNDANGAN NEGERI DIBUBARKAN...
Mohd Ezli Mashut (LL.B (Hons)
ezli007.blogspot.com / ezli007@hotmail.com

‘Sokong Barisan Nasional : Indeks Jenayah dan Rasuah Naik !
Sokong Barisan Rakyat : Indeks Jenayah dan Rasuah Turun !’

Apabila parlimen dibubarkan maka berakhir pemerintahan kerajaan semasa. Maka ketika itu parti pemerintah sudah tidak lagi mempunyai kuasa. Mereka tiada lagi kuasa untuk mengumumkan apa-apa lagi projek dan menyalurkan kewangan. Kuasa ke atas media juga sudah berakhir. Mereka tiada lagi hak untuk mengugut dan menakut-nakutkan pengundi.

Sepatutnya juga semasa tempoh pembubaran parlimen, Perdana Menteri, Kabinet dan Kerajaan Negeri sudah tiada lagi kuasa. Mereka tiada hak lagi untuk menggunakan jentera dan pentadbiran Kerajaan Malaysia. Mereka juga tiada hak lagi untuk menggunakan harta awam rakyat Malaysia untuk tujuan politik mereka.

Tetapi yang peliknya pada ketika itu kuasa pemerintahan yang sudah berakhir semakin banyak projek-projek dilancarkan. Ketika itu juga wakil rakyat yang selama ini entah hilang ke mana muncul di mana-mana. Malah mereka pada ketika ini juga menjadi begitu prihatin dengan masalah rakyat. Tiba-tiba juga jalan raya di tar dan dibaiki semula. Sekolah-sekolah, masjid-masjid, anak-anak yatim dan warga emas mendapat bantuan dan dana kewangan.

Selepas parlimen dibubarkan juga maka kita akan lihat kerajaan berfungsi dengan erti kata sebenarnya. Ke mana sahaja janji-janji akan ditabur itu dan ini. Rakyat disantuni hatta sehingga sanggup bertandang dari rumah ke rumah untuk bertanyakan khabar , makan dan minum juga bersama rakyat. Jika selama ini payah untuk bersalam dengan wakil rakyat tetapi ketika waktu ini bagaikan ada sesuatu kekuatan ajaib habis semua pengundi disapa dan berjabat tangan.

Pengalaman pilihanraya kecil di DUN Ijok (April 2007) menyaksikan segala-gala aksi-aksi ini. Hatta Perdana Menteri sendiri sanggup menjejak kaki dan Timbalan Perdana Menteri pula berkampung. Mereka akan begitu prihatin dan pemurah pada ketika ini. Minta apa sahaja mungkin janji akan ditunaikan jika menyokong mereka. Wang tidak menjadi masalah untuk mereka pada ketika ini.

Kita akan lihat juga pada ketika ini rakyat akan ditatang dan disantuni dengan sebaik mungkin bagaikan anak kecil. Projek-projek rakyat dilancarkan di seluruh negara. Imej mereka juga akan dilihat bagaikan seorang yang begitu prihatin dan penyayang.

Semua ini akan berakhir apabila pilihanraya tamat. Apa yang kita harapkan ialah kerajaan baru yang dibentuk pasca PRU meneruskan agenda membela rakyat. Barisan Nasional sudah terlalu lama memerintah negara. Jasa-jasa mereka pasti sudah terlalu banyak sebagaimana yang akan digembar-gemburkan pada waktu pembubaran parlimen ini. Oleh sudah tiba masanya rakyat Malaysia mencari kerajaan baru yang sanggup membela rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Barisan Rakyat (PAS , KEADILAN , DAP ) adalah pilihan terbaik untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia pasca PRU-12.

Oleh itu 125 Kerusi Parlimen perlu diberikan kepada Barisan Rakyat untuk membela kepentingan rakyat. Ayuh kita hijrah daripada kerajaan lama (Kerajaan Barisan Nasional) kepada kerajaan baru (Kerajaan Barisan Rakyat ) yang lebih adil dan saksama. Bersama kita menerajui perubahan masa hadapan negara dan ummah.

Kerajaan Barisan Nasional sebenarnya lemah dan berpecah sekarang. Tiada harapan yang boleh disandarkan kepada kerajaan BN sekarang. Kekuatan yang digembar-gemburkan hanya bayangan semata-mata. Tiba saatnya juga sehebat mana kerajaan itu akhirnya akan tumbang jika rasuah, kezaliman dan penyelewengan berleluasa di mana-mana.

Empayar Kerajaan Babylon, Rom dan Parsi yang hebat juga runtuh. Kerajaan Firaun yang membina kehebatan piramid juga runtuh. Kerajaan Diktator Shah Iran, Marcos, Hitler,Suharto juga runtuh. Empayar besar Britain dan Rusia juga berpecah akhirnya. Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Abdullah Ahmad Badawi sekarang juga akan mengikuti jejak sejarah yang sama juga setelah mana pimpinannya terdiri daripada kalangan yang rasuah, zalim, terpalit dengan pelbagai skandal moral dan akhlak.

Ingatan kepada semua jentera Barisan Rakyat. Jauhi dosa dan maksiat. Dekatkan diri kepada Allah dengan banyakkan solat hajat dan tahajjud. Perbanyakkan amal ibadah puasa sunat. Jadikan jentera Barisan Rakyat punyai akhlak dan moral yang tinggi. Perbanyakkan bacaan Al-Quran setiap masa. Merenung kata-kata Saidina Umar aku tidak takut kepada kuasa Parsi dan Rom tetapi yang aku takutkan kamu melakukan maksiat yang menyebabkan Allah tidak memandang kamu lagi.

Ingat lah jika kita ‘Sokong Barisan Nasional Indeks Jenayah dan Rasuah akan Naik ! jika kita Sokong Barisan Rakyat Indeks Jenayah dan Rasuah Turun !’ ...