Wednesday, 14 November 2007

Gelombang Kuning Rakyat Malaysia Menggegar Dunia

GELOMBANG KUNING RAKYAT MALAYSIA MENGGEGAR DUNIA
Oleh : Mohd Ezli Bin Mashut
LL.B (Hons)
ezli007.blogspot.com / ezli007@hotmail.com

Lebih ratusan ribu gelombang kuning rakyat sudah menyatakan pendirian terbuka . Sekatan, ugutan dan tangkapan tidak menggerunkan keberanian rakyat untuk berhimpun dan berarak secara aman. Kuala Lumpur bertukar menjadi ‘metro polis’ yang digunakan parti pemerintah untuk menggertak rakyat untuk mengekang gelombang kuning. Media propaganda kerajaan menjadi kalut apabila agensi berita antarabangsa membawa liputan ekslusif perhimpunan aman ini. Menteri Penerangan yang diwawancara oleh Al-Jazeera tidak berupaya menjawab persoalan yang dilontarkan malah menunjukkan emosi yang keterlaluan dan menunjukkan tahap professionalisme yang cukup teruk.

Semasa persidangan Parlimen, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bersikap dengan angkuh dan takbur menyatakan bahawa perhimpunan aman ini cuba menghina Institusi Beraja di Malaysia. Kita ingin mengingatkan bahawa pihak parti pemerintah yang sebenarnya menderhaka kepada Institusi Beraja di Malaysia apabila tidak bersikap demokratik apabila rakyat berhimpun dan berarak untuk menunjukkan taat setia kepada Yang Di Pertuan Agong di balas dengan tembakan gas pemedih mata dan tembakan meriam air asid. Inikah sikap parti pemerintah yang dikatakan menjadi pelindung institusi beraja di Malaysia ?.

Memorandum sudah berjaya disampaikan kepada pihak Istana Negara. Oleh itu satu tindakan tegas adalah dituntut dalam usaha membentuk sistem perjalanan pilihanraya umum di Malaysia yang lebih adil dan demokratik. Apakah selepas ini pihak rakyat akan menyerahkan memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB ) pula untuk membuka segala kepincangan yang ada dalam sistem pilihanraya umum di Malaysia ?.

Pasca perhimpunan bersejarah 10 November ini pasti membuatkan Perdana Menteri Malaysia tersentak daripada lena. Malahan selepas ini juga rakyat bersedia untuk ke jalan-jalan raya lagi di seluruh negara dengan jumlah jutaan untuk menyedarkan lagi lamunan parti pemerintah. Belajarlah daripada apa yang berlaku di Pakistan dan Mynmar baru-baru ini. Apabila rakyat sudah berani ke jalan-jalan raya kredibiliti dan imej kerajaan memerintah akan berada di tahap yang kritikal dan teruk pada pandangan antarabangsa.

Propaganda bahawa ini perarakan dan perhimpunan haram telah membangkitkan kemarahan rakyat lagi. Ingatlah kini rakyat sudah sedar dengan bermacam-macam penipuan parti pemerintah terhadap isu-isu semasa negara. Persoalan memerangi rasuah mengapa semakin sepi kini sedangkan sebelum ini nampak beria-ia. Apakah sudah di buat siasatan terhadap dakwaan rasuah yang melibatkan tokoh-tokoh politik dan korporat ? . Ke mana pula perginya laporan daripada Suruhanjaya Bebas terhadap kes video klip yang mencemarkan institusi kehakiman dan keadilan negara ?. Bagaimana pula kes pembunuhan Nurin sudahkah pembunuh dijejaki dan ditangkap ?.

Mengulas sedikit apa yang berlaku di Israel baru-baru ini. Pasukan polis Israel telah menggeledah dan menyerbu ke beberapa buah jabatan kerajaan apabila Perdana Menterinya Ehud Olmert di dakwa melakukan jenayah rasuah. Itu yang berlaku di sebuah negara yang diketahui umum melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin tetapi dalam soal memerangi rasuah tiada kompromi hatta Perdana Menteri yang masih berkuasa tidak terlepas.

Mungkin disebabkan faktor-faktor ini juga mengapa kita melihat indeks rasuah Malaysia lebih tinggi daripada Israel. Sewajarnya kita patut mengambil iktibar daripada senario ini . Mengapa sebuah negara yang diketahui umum begitu zalim tetapi dalam soal rasuah cukup terbuka dan berani sehinggakan orang yang mempunyai kuasa tertinggi dalam negara tidak akan terlepas.

Malaysia yang mewarwarkan bahawa negara Islam Hadhari sewajarnya malu dengan negara seperti Israel yang kejam dan zalim itu. Pemimpin-pemimpin rasuah perlu berundur daripada pemerintahan daripada memegang apa-apa jawatan penting samada dalam institusi kerajaan dan korporat. Buktikan dan serlahkan Malaysia melaksanakan dengan sebenar-benarnya ajaran Islam yang secara jelas menolak rasuah dan penyelewengan kuasa.

Kempen gelombang kuning rakyat perlu diteruskan bukan sahaja di peringkat nasional malahan ke peringkat antarabangsa. Dengan mengistiharkan bahawa setiap hati Sabtu rakyat dianjurkan untuk berpakaian tema berwarna kuning adalah langkah awal dalam usaha menarik sokongan rakyat kebanyakkan yang tidak mendapat maklumat yang tepat dan adil. Usaha ini memerlukan penerangan yang seluas mungkin dengan menggunakan pelbagai medium penyampai maklumat.

Kita juga ingin mencadangkan agar bendera kuning dikibarkan di seluruh negara pada hari Sabtu untuk menunjukkan sokongan padu dan total kepada tuntutan ini. Kibarlah di hadapan rumah anda , kereta , kedai, dan pejabat-pejabat sebagai simbol rakyat Malaysia yang cinta kepada keamanan dan keadilan sejagat tanpa mengira agama, bangsa dan parti. Ianya lambang kesatuan rakyat Malaysia semuanya.

Malahan untuk menyemarakkan lagi usaha kreatif dan inovatif perlu dipergiatkan dalam cetusan gelombang kuning ini. Ianya bukan sahaja yang melibatkan program – program zahir sahaja yang terpenting rakyat memahami falsafah dan inti pati perjuangan rakyat dalam gelombang kuning rakyat ini. Ianya secara tidak langsung akan menafikan selama ini gelombang kuning penaja kepada keganasan. Malahan kita membawa satu imej baru dalam perjuangan rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin yang akan memperjuangkan rakyat keseluruhannya.
Kita juga mengesorkan kepada pihak BERSIH agar memanjangkan memorandum ini diserahkan kepada semua Raja-Raja Melayu di seluruh negara. Ia adalah bukti dan simbol kepada tuntutan rakyat yang serius dalam memperjuangkan hak sebuah pilihanraya umum yang adil dan telus kepada semua pihak. Ianya juga perlu diserahkan kepada semua yang menduduki kerusi di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai satu tuntutan rakyat yang menuntut perubahan total sistem demokrasi di Malaysia.

Kita juga mengesorkan agar Pilihanraya Umum ke -12 ini digantung sementara waktu untuk memberikan ruang dan masa kepada penubuhan sebuah Badan Bertindak Reformasi Pilihanraya yang diketuai oleh Yang DiPertuan Agong untuk melakukan Siasatan Diraja terhadap segala bentuk penyelewengan pilihanraya umum yang lepas dan melakukan pembaharuan terhadap perjalanan pilihanraya di Malaysia yang lebih adil dan telus kepada semua pihak.

Badan Bertindak Reformasi Pilihanraya ini mempunyai kuasa yang besar untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menjadi pelaksana pilihanraya yang lebih professioanal dan adil. Malahan selepas parlimen dibubarkan, parti pemerintah sebelumnya tidak akan mempunyai kuasa terhadap penggunaan media massa dan harta hak milik kerajaan Malaysia lagi tetapi ianya akan dikawal dan kuasai oleh Badan Bertindak Reformasi Pilihanraya ini. Badan ini akan menentukan segala perjalanan pilihanraya memenuhi sistem demokrasi yang sebenarnya.

Selain itu juga pasukan pemantau pilihanraya antarabangsa perlu dibenarkan untuk memantau perjalanan pilihanraya di Malaysia. Pasukan ini akan terus melaporkan segala hasilnya terus kepada Yang DiPertuan Agong. Ini akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat bahawa pemilihan yang dijalankan adalah selaras dengan undang-undang dan peraturan pilihanraya di Malaysia.

Selaras dengan tuntutan terhadap perubahan total pilihanraya ini. Undi Pos wajib dihapuskan sebelum pilihanraya umum ke-12 ini dijalankan. Ianya sudah tidak lagi releven pada era globalisasi ini. Ianya perlu ditukar kerana undi pos tidak memberikan ruang demokrasi yang sebenarnya kepada para pengundi. Malahan ketelusan dan keadilan Undi Pos ini dipertikaikan dan melanggar prinsip demokrasi. Malahan negara-negara luar sudah tidak lagi mempraktikkannya lagi lantaran soal ketelusan dan keadilannya.

Selepas ini juga kita mengharapkan tarikh pilihanraya umum diumumkan oleh Yang Dipertuan Agong dan bukan menunggu ilham Perdana Menteri. Ianya pasti mengurangkan salah laku dan penyelewengan terhadap semangat demokrasi kerana tarikh pilihanraya tidak menjadi hak ekslusif Perdana Menteri lagi. Ianya kini menjadi hak Yang DiPertuan Agong dalam memelihara demokrasi di Malaysia.

Pastinya dunia antarabangsa kini memandang penuh minat senario terbaru di Malaysia. Perkembangan ini pastinya mempengaruhi iklim keyakinan pelabur asing dan ekonomi semasa. Kerajaan memerintah tidak mempunyai pilihan lain selain untuk tunduk dengan tuntutan rakyat Malaysia. Apakah satu petisyen nasional atau referendum pilihanraya diperlukan untuk menghantar mesej terhadap tuntutan perubahan demokrasi di Malaysia ?.

Generasi muda mempunyai peranan penting dalam usaha ini. Sokongan terbuka kepada perhimpunan aman yang lepas amat mengujakan. Malahan jika sokongan ini berterusan dan istiqamah, kita yakin mesej ini akan dapat disampaikan ke seluruh negara tanpa mengira umur dan kedudukan. Generasi muda yang terdedah dengan kepantasan teknologi maklumat perlu menggunakannya untuk menyampaikan mesej perjuangan rakyat ini ke seluruh negara.

Penggunaan blog-blog, paparan video You Tube , portal , SMS, MMS ,kaset dan risalah serta laporan dari mulut ke mulut perlu dipergiatkan oleh semua pendukung pejuang rakyat ini. Kita yakin dengan usaha yang gigih dan giat akan memberi impak maksima yang akan menyedarkan pemerintah semasa terhadap kebangkitan dan penggunaan medium baru ini di pentas media nasional yang dirantai oleh pihak kerajaan Malaysia.

Sejarah pembinaan tamadun yang hebat banyak dimulakan oleh mereka yang mempunyai semangat tajdid dan perubahan. Mereka membawa satu dimensi baru dalam membawa semangat perubahan dalam masyarakat dan ummah. Kita wajar menghayati jatuh dan bangunnya sesebuah tamadun untuk kita hayati dan aplikasikan dalam pembangunan negara dan ummah sejagat.

Kita wajar menghayati semangat perjuangan pejuang-pejuang silam seperti Salahuddin Al-Ayyubi dalam mengembalikan maruah ummah dan agama dengan kejayaannya menawan kembali Kota Baitul Maqdis. Pelajari juga bagaimana Jose Rizal tokoh pejuang Filifina dalam membebaskan negaranya daripada taklukan imperialisme. Malahan kita juga wajar menghayati tokoh-tokoh ulama di tanahair yang berjuang menuntut kemerdekaan yang hakiki untuk bumi Malaysia.

Era zaman globalisasi ini juga menuntut kepada kebangkitan dan kemunculan pejuang-pejuang baru. Hari ini mungkin pejuang-pejuang baru akan muncul di Malaysia di kalangan generasi muda. Oleh itu saat dan ketikanya sesuai dengan suasana di Malaysia dalam bentuk baru perjuangan rakyat Malaysia untuk kemerdekaan yang hakiki daripada rejim pemerintahan yang tidak demokratik.

Gelombang kuning ini juga wajar menjadi perintis kepada satu revolusi intelektual di Malaysia dalam membangkitkan generasi muda ke arah menghargai keamanan dan keadilan. Melalui revolusi intelektual ini maka kita membawa satu gerakan tajdid baru minda generasi muda Malaysia yang mempunyai keupayaan bina insan yang mantap dan kekuatan ilmu dalam pelbagai bidang. Hanya dengan penghayatan ilmu sahaja maka satu gerakan pembaharuan dalam siasah negara dapat dilaksanakan.

Kita juga menuntut kebebasan media dalam memberi laporan yang adil dan tepat untuk membina minda generasi akan datang yang kritikal dan analitikal. Segala isu semasa dapat dibincang dan didebatkan dalam suasana mahabbah dan penuh tradisi keilmuan.Kita wajar mempelajari budaya ilmu yang cukup hebat di barat sehinggakan mencetuskan tamadun dan ciptaan yang mengkagumkan dunia sejagat.

Kelesuan yang kini mencengkam para intelektual di Malaysia juga adalah akibat dirantai oleh akta yang bersifat drakonian yang tidak membawa dan menyuburkan budaya intelektual di kalangan mahasiswa dan rakyat kebanyakkan. Hasilnya kini adalah segala permasalahan negara hanya dibincangkan oleh media-media massa yang juga terikat dengan akta-akta yang mengekang budaya penyuburan intelektual. Jadi tidak hairan mengapa universiti-universiti di Malaysia terkeluar daripada senarai 200 universiti terbaik dunia. Sebabnya adalah salah satunya kongkongan akta-akta dan kelesuan minda para ilmuannya.

Debat ala ‘Presidential Election’ juga wajar diadakan kelak. Media-media massa boleh mengambil pendekatan awal untuk mengadakannya sebagai salah satu wadah rakyat dalam menyalurkan idea-idea hebat untuk membangunkan negara. Justeru acuan pembangunan di Malaysia dapat dicorakkan hasil daripada revolusi intelektual rakyat yang secara berani untuk membawa pembaharuan dalam sistem siasah, ekonomi dan sosial di Malaysia. Hak kebebasan berbicara juga walaupun termaktub dalam perlembagaan negara tetapi falsafah penghayatannya dinafikan oleh pelbagai sekatan dan ugutan.

Rakyat diprogramkan hanya untuk menurut segala kehendak dan polisi kerajaan memerintah. Tetapi ruang untuk memberi pendapat dan idea walaupun ada masih terbatas dengan pelbagai alasan dan sebab musabab. Atas kesedaran ini maka kita perlu menjadikan dan menterjemahkan semangat gelombang kuning ini adalah satu gerakan revolusi minda dan insan rakyat Malaysia. Ianya adalah untuk survival masa hadapan Malaysia daripada sistem demokrasi yang masih banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki dan reformasi.

‘Mind setting’ rakyat perlu dipertingkatkan dalam soal-soal masa hadapan negara. Penglibatan aktif dan pasif rakyat juga dapat membantu soal pembangunan negara masa hadapan yang meliputi aspek sistem ekonomi,siasah dan sosial Malaysia. Kita mengharapkan generasi masa hadapan negara akan lebih berani untuk ‘mengajar’ mana-mana pemimpin yang dilihat lesu dan tidak bermaya dalam menangani permasalahan dalam negara. Mungkin dengan cara ini maka soal dalam rasuah yang mencengkam sistem di Malaysia dapat diperbaiki.

Suasana senyap dan hanya mengiakan apa sahaja boleh membawa negara kepada satu bencana yang boleh memusnahkan negara. Pelajari dan hayati sejarah jatuh dan bangunnya sesebuah negara dan tamadun apabila budaya ini semakin menular betapa hebatnya sesebuah tamadun akan runtuh juga akhirnya lantaran sikap budaya senyap dan mengiakan tindak-tanduk pimpinan negara.

Mari kita hayati model kepimpinan Saidina Umar Al-Khatab semasa menjadi khalifah Islam kedua. Kisah bagaimana Saidina Umar yang turun ke padang melihat rakyatnya pada waktu malam ketika rakyatnya tidur. Kisah bagaimana Khalifah Umar yang menyantuni nasib seorang wanita tua yang sedang memasak sesuatu untuk anak-anak wanita tua itu yang sedang kelaparan. Kerana prihatinnya maka Khalifah Umar R.A sendiri pergi ke Baitulmal dan membawa sendiri keperluan wanita itu sendiri tanpa mengharapkan bantuan pekerjanya. Dan di akhir kisah itu wanita itu berkata " Mudah-mudahan Allah S.W.T akan membalas budi baik Tuan, Sungguh Tuan yang sepatutnya menjadi Amirul Mukminin,bukannya Umar Al-Khatab. Saidina Umar mendengar percakapaan itu dengan perasaan gembira.

Apakah masih ada lagi pemimpin yang berjiwa sebenar rakyat seperti Umar yang kepimpinannya bukan untuk mencari populariti diri sendiri dan mengumpul kekayaan ?. Mereka mencari kekayaan taqwa dan keredhaan Allah. Inilah yang menyebabkan Allah turunkan barakah kepimpinan sehinggakan pada waktu itu serigala dan kambing dapat menjadi haiwan yang berkawan rapat, Subhanallah. Renungilah agar kita mampu untuk menghayati model kepimpinan agung ini.

Ayuh rakyat Malaysia seluruhnya, kita selamatkan demokrasi di Malaysia. Kita nyatakan sokongan padu dan terbuka kepada gelombang kuning ini. Jadilah kita sebahagian daripada sejarah masa hadapan dalam perubahan di Malaysia. Jadikanlah mesej ‘ MASA UNTUK BERUBAH’ sebagai satu khazanah yang cukup mahal untuk kita wariskan kepada generasi Malaysia pada masa hadapan. Anda semua adalah barisan pejuang yang diharap-harapkan oleh generasi masa hadapan dalam tuntutan sebenar perubahan di Malaysia.

DAULAT TUANKU !... DAULAT TUANKU !... DAULAT TUANKU !.. Semoga kedaulatan rakyat Malaysia dapat dikembalikan dan Malaysia pada masa hadapan mempunyai pemimpin yang melalui satu sistem pemilihan yang adil dan telus di mana dunia antarabangsa juga mendapat nikmatnya. Ingatlah gelombang kuning bukan sahaja perhimpunan aman dan perarakan ia adalah gerakan massa rakyat dalam membawa revolusi minda dan insan ke arah membina sebuah negara yang adil dan aman.